Langkau ke kandungan utama

DUA BELAS: MENEBANG POKOK ATAU MENEBAS SEMAK: ANTARA BUKU DAN KERTAS ILMIAH


Seorang tuan tanah berhasrat membersihkan tanah terbiarnya yang penuh hutan dan belukar untuk membina rumah di situ. Dia pun mengupah seorang kontraktor. Sebagai imbuhan, dia menjanjikan upahan berdasarkan berat daun dan kayu yang dibuang. Setelah sebulan, dia membayar upahan menurut janjinya. Namun apabila dia pergi melihat tanahnya, walaupun banyak belukar yang telah dibersihkan, masih terdapat pokok-pokok besar ditanahnya. Beberapa lama berlalu, dia memanggil semula kontraktor itu untuk membersihkan lagi tanahnya.

Kontraktor itu sekali lagi membawa banyak sisa daun dan belukar yang telah dipotong, dan dibayar seperti biasa, menurut berat sisa yang dipotongnya. Namun tuan tanah sekali lagi kecewa melihat tanahnya yang walaupun bersih dari belukar dan semak, namun masih banyak pokok besar yang tidak diusik.

Rupanya si kontraktor itu hanya membersihkan belukar dan semak yang tumbuh semula selepas dia menebasnya kali pertama. Tuan tanah yang tidak berpuas hati meminta kontraktor itu menebang pokok besar yang masih ada. Tapi kontraktor itu menolak kerana tiada kepakaran menebang kayu. Tuan tanah merungut kerana dia telah membayar dua kali untuk kerja yang sama, iaitu menebas semak yang tumbuh semula sedangkan tanahnya masih belum bersih dari pokok besar. Si kontraktor berkeras mengatakan dia telah melakukan yang sepatutnya, dan bayaran bagi berat sisa yang dibersihkannya memang haknya. Akhirnya tuan tanah terpaksa menerima hakikat bahawa rumahnya belum dapat dibina walaupun dia telah berbelanja untuk membersihkan tanahnya.

Inilah gambaran apa yang dilakukan oleh universiti sekarang. Dari segi persepsi, nampaknya seolah-olah banyak yang telah dicapai. Saban tahun, semakin banyak kertas ilmiah diterbitkan, sentiasa diumumkan peningkatan ranking, semakin banyak harta intelek difailkan, semakin banyak graduan PhD dan masters yang digraduatkan. Namun, seperti kisah tadi, ia ibarat banyaknya daun dan ranting dari semak yang dibersihkan, tetapi tiada pokok yang ditebang. Banyak pencapaian kuantiti yang dicanangkan, tetapi tiada permasalahan 'pokok' yang diselesaikan. Seandainya kita melihat keadaan masyarakat disekeliling, dimanakah kesan dan manfaat pencapaian-pencapaian yang dimegahkan ini? Mengapakah kemelut ekonomi, sosial, alam sekitar masih belum selesai? Dimanakah inovasi yang dihasilkan? Kemana graduan-graduan pintar ini pergi? Mengapa kita masih belum melangkah menjadi negara maju? Andai kita selidiki persoalan-persoalan ini, maka seperti kisah di atas tadi, aktiviti di universiti lebih kepada mencantas ranting dan membersihkan semak, tanpa membolehkan tanah dimanfaati. Aktiviti penyelidikan dan kelimuan hanya melihat isu isu kecil dalam keilmiahan, sedangkan punca masalah yang menjadi pokok persoalan masyarakat, tidak disentuh.

Apakah benar aktiviti penyelidikan dan pembelajaran di universiti sekarang lebih kepada analogi menebas semak belukar dan bukan menebang pokok? Salah satu fenomena yang mewajarkan tamsilan semak dan belukar ialah kecenderungan universiti beralih kepada penulisan kertas ilmiah berwasit yang kononnya berimpak tinggi berbanding dengan penulisan buku. Sebenarnya, oleh kerana desakan mencapai sasaran markah untuk ranking dan markah Key Performance Index, kertas ilmiah menjadi tumpuan dan 'pulunan' sarjana universiti kerana ia boleh dihasilkan dalam masa yang singkat. Kertas sebegini boleh dihasilkan dalam masa setahun dua, ada yang boleh dihasilkan dalam beberapa minggu. Bahkan ada juga yang boleh dihasilkan dalam masa beberapa hari sahaja. Sebab itulah ia menjadi pilihan pembuat dasar dan polisi penyelidikan, kerana hasilnya cepat dan boleh dibuat berulangkali bagi melonjakkan kuantiti pencapaian bagi menayangkan 'prestasi'. Ia umpama membersih semak dan belukar dalam kisah di atas, tebas hari ini, tiga minggu lagi semak akan tumbuh semula dan akan ada kerja baharu untuk si kontraktor menebas lagi. Ia menjanjikan penghasilan yang berterusan dan banyak untuk universiti menayangkan 'produktiviti'.

Ini juga menyebabkan pensyarah didesak dengan KPI tahunan untuk menghasilkan kertas ilmiah, kerana kertas ilmiah boleh dihasilkan dengan cepat untuk menunjukkan prestasi cemerlang. Dalam setahun seorang ilmuan boleh menghasilkan dua, tiga bahkan ada yang berbelas ataupun berpuluh kertas. Ini penting untuk menaikkan ranking universiti, dan markah untuk kenaikan pangkat ilmuan sendiri. Akhirnya gejala 'bean counting'  menjadi resam di universiti. Demi kelansungan kerjaya ilmuan, dan kelansungan pentadbir di kaca mata pemimpin diperingkat kementerian, maka markah yang tinggi diberi kepada penulisan kertas ilmiah. Untuk buku, yang ambil masa bertahun, diberi markah yang setara, kalau tidak pun lebih rendah dari kertas yang terbit dalam makalah berwasit berprestij. Akhirnya, adalah lebih produktif bagi ilmuan untuk menulis kertas ilmiah berterusan dari  menulis buku yang kurang produktif dari segi pemarkahan.

Hakikatnya, tempoh yang lama diambil untuk menulis buku bukanlah  suatu pembaziran kesarjanaan, Tidak seperti kertas ilmiah, buku merupakan penerokaan mendalam jiwa dan minda masyarakat dan mampu mengubah budaya dan kecenderungan tamadun. Ia meneroka jalan dasar dalam perubahan minda dan amalan masyarakat. Ada buku muktabar yang dihasilkan ilmuwan ulung hasil dari pengalaman dan penyelidikan puluhan tahun. Buku menumpukan penerokaan kepada isu pokok dalam dunia nyata, dan kesannya jauh lebih luas dan bermakna. Penulisan buku boleh membawa pembaca ke aras perbahasan paradigma. Penerokaan paradigma hanya boleh dibuat dengan membawa pembaca dalam perjalanan yang panjang dan immersive. Ini hanya boleh  dilakukan dengan membaca buku yang baikIa mampu meneroka permasalahan besar dan berat. Ibarat pokok besar dalam cerita di atas, permasalahan paradigma tidak mudah untuk ditebang. Namun sekiranya isu 'pokok' ini diselesaikan, maka kemajuan masyarakat akan lebih jelas dan lebih bererti. Tanah itu akan boleh dibina rumah atau kilang yang dapat dimanfaati.

Hakikat buku mempunyai kesan mendalam pada masyarakat boleh dilihat dalam sejarah ketamadunan manusia hari ini. Lihat sahaja bagaimana Buku The wealth of Nation tulisan Adam Smith[1] pada kurun ke 17 mengubah dunia sehingga ke hari ini dengan kapitalisme. Atau penulisan Karl Marx, Das Kapital [2] pada hujung kurun ke 19 yang menggagaskan sosialisme yang mengocak geopolitik dunia sehingga ke hari ini. Kesedaran tentang kelestarian alam dalam era moden dicetuskan oleh buku The Silent Spring tulisan Rachel Carson [3] pada tahun 60an. Bahkan, ajaran ugama besar dunia semuanya berasaskan kitab dan wahyu. Pendek kata, yang mencetuskan anjakan paradigma dalam tamadun, adalah buku. Tetapi mari kita lihat dimana status buku di universiti kita hari ini.

Saya pernah menghadiri suatu perbincangan bagi menetapkan hasil penyelidikan universiti. Setiap ahli membentangkan sasaran jumlah kertas yang ingin dicapai oleh setiap fakulti. Saya menyuarakan persoalan kenapa tiada lansung yang menyasarkan penerbitan buku? Bukankah buku merupakan perkara pokok dalam keilmuan universiti? Tiada yang dapat menjawab bahkan persoalan saya dibiarkan sepi. Jawapan tersirat ialah buku memerlukan tempoh yang lama untuk menghasilkan walau satu naskhah. Ia juga tidak menghasilkan sebarang markah tahunan seandainya ia tidak diterbitkan tahun itu. 

Buku juga merupakan nadi kesarjanaan bidang kemanusiaan, seni dan falsafah. Pernah di dalam suatu perbincangan, kami dari fakulti bidang seni dan kemanusiaan ditegur oleh pemimpin universiti kerana sangat lalai dalam menulis kertas ilmiah. Lalu dia melontarkan kenyataan kepada salah seorang pensyarah dari bidang kami, "Apabila kamu menulis tesis, sebagai rujukan bukankah kamu membaca kertas ilmiah dan bukannya buku?". Pensyarah itu menjawab, "rujukan kami lebih banyak bergantung kepada buku dan bukan kertas ilmiah". Jelas terlihat disini, pentadbir akademia lebih berkiblat kepada bidang sains yang sememangnya berpaksikan kepada kertas ilmiah dalam menentukan corak perjalanan ilmu diuniversiti.

Satu lagi ciri yang membezakan buku dengan penulisan kertas ilmiah, ialah ianya menyentuh pemikiran, menyentuh hati orang awam dengan cara penceritaan yang bercorak naratif, menyentuh falsafah, anekdot, tamsil yang merupakan gabungan aspek intuitif, emotif, psikologi dan keseluruhan aspek keinsanan. Tidak seperti ini, sebaliknya penulisan kertas ilmiah yang semakin hari semakin cenderung kepada penulisan sains tulin (saintisme), hanya berfokus kepada aspek kognitif yang dipacu rasional yang sempit (reduksionisme), memfokuskan kepada kuantiti, dan analisis kuantitatif. Ia merupakan wacana yang sukar dicerna awam lalu tidak mampu meningkatkan kesedaran masyarakat awam secara menyeluruh. Tidak dinafikan, kertas ilmiah mempunyai sumbangan tersendiri, namun akibat dari fenomena 'timbang kati', kebanyakannya hanya menjadi timbunan penerbitan eksklusif yang berbayar demi meningkatkan penilaian pemimpin universiti dan ilmuan akademik.

Kecenderungan reduksionisme dalam menghasilkan kertas ilmiah menyebabkan tumpuan pemikiran hanya kepada perkara yang kecil yang telah dipisahkan seperti keadaan dalam makmal yang terasing dari dunia nyata. Ini memang kaedah yang sesuai dalam menyelidiki, misalnya tindakbalas kimia, biologi atau hukum fizik benda mati. Oleh kerana fokus kepada aspek kecil dari fenomena alam, ia boleh dibuat dengan cepat dan berulang2. Contohnya seorang penyelidik boleh mengkaji tentang kesan cahaya matahari kepada daun sawi dan menghasilkan suatu kertas ilmiah dalam masa sebulan. Seterusnya dengan alat dan kaedah yang sama, dia menyelidik pula kesan cahaya lampu jalan keatas daun sawi, satu lagi kertas ilmiah boleh dihasilkan, dan begitulah seterusnya. Kalau asalnya penyelidikan sebegini bersifat fundamental dan penting, (seperti menghasilkan vaksin, atau kajian yang mencipta penerbangan), kini oleh kerana desakan untuk menghasilkan kertas ilmiah dengan cepat dan banyak, ia menjadi semakin tidak bererti apabila pengetahuan baharu lebih kepada menyelidiki cabang kecil dalam fenomena kehidupan dan berulang-ulang.

Peminggiran penulisan buku di universiti, turut membawa bersama bencana kedangkalan pemikiran. Untuk menulis buku, ia memerlukan pengalaman hidup dunia sebenar seorang penulis. Ia memerlukan kebijaksanaan, semangat dan kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat. Ia membentuk kemahiran bertafakur, berandai, dan menulusuri jalan perbahasan yang panjang dan rumit. Ia boleh menghasilkan pemikiran yang asli dan inovatif. Apabila ia dipinggirkan, kelompok ilmuan universiti akan kehilangan kemahiran ini. Ia tidak dapat dibentuk dengan budaya penulisan kertas ilmiah yang mempunyai proses yang seragam dan tersusun secara mekanistik dan berulang-ulang. Hanya dengan mengubah variables, kertas demi kertas boleh diterbitkan, tanpa mememerlukan penerokaan yang berbeza dan lebih dalam. Ia lebih bersifat penerokaan transaksi dan operasi maklumat, bukan perbahasan paradigma yang membentuk pemikiran. Sasaran pembacanya juga terhad kepada kelompok teknokrat yang kecil yang berfokus pada bidang yang sama. Kajian tentang kesan molekul x dalam proses penghasilan sintetik y hanya difahami oleh sekelompok kecil dalam bidang yang sama. Tidak dinafikan, kertas ilmiah juga penting dalam pembangunan tamadun, terutama dalam bidang teknologi dan sains. Tetapi, oleh kerana kecenderungan saintisme yang diulas sebelum ini, ianya kini diangkat menjadi wadah untuk semua bidang ilmu diuniversiti.

Hilangnya kemahiran menulis buku mengakibatkan ilmuan tidak mampu memikirkan perkara dasar, asas falsafah dan tidak mampu berfikir pada aras paradigma. Hal ini juga menyebabkan fenomena ramainya pemikir cetek berada dalam universiti. Ibarat sang kontraktor tadi, kerana dia memfokus kepada kerja menebas semak dan belukar, dia tidak lansung tahu bagaimana untuk menebang pokok besar dan membersihkan tanah agar sedia untuk didiami. Seandainya kita bertanya kepada seorang saintis yang produktif dalam bidang sains hari ini, kemungkinan besar dia sendiri tidak mengetahui asas paradigma pemikirannya, iaitu soal falsafah dan sejarah pemikiran moden.

Perlulah ditegaskan di sini, bahawa kertas ilmiah dan buku, kedua-duanya mempunyai peranan penting dalam pembinaan tamadun. Namun harus difahami perbezaan antara keduanya. Kertas ilmiah berwasit lebih penting kepada bidang sains dan teknologi dalam membawa kemajuan teknologi dan inovasi. Buku pula amat penting bagi membentuk budaya, pemikiran dan amalan masyarakat. Ketaksuban saintisme dan  kegilaan mencapai produktiviti melalui kuantiti, menyebabkan universiti kini beralih kepada aktiviti  penulisan kertas ilmiah sehingga kemahiran bahkan kepentingan menulis buku terpinggir. Ketaksuban saintisme juga menyebabkan bidang falsafah dan kemanusiaan turut digembala kearah yang serupa. Dalam menulis makalah berwasit, pendekatan reduksionis seperti sasaran kuantitatif dan proses mekanistik mula menjadi kerangka penjanaan dan pengurusan pengetahuan bidang-bidang ini. Akibatnya faktor perubahan tamadun tidak berlaku, kerana dinamika keinsanan tidak boleh ditransformasi, dijana, dicanai atau dipengaruhi oleh  paradigma reduksionisme yang mendasari pendekatan saintisme.

Disini ada suatu hal yang perlu dijelaskan. Walaupun perbincangan ini menjulang penulisan buku dan kepentingan membaca buku, tidak semua buku boleh memberi manfaat yang diharapkan. Seperti dibahaskan di atas, buku boleh mengubah pemikiran dan budaya, oleh itu penghasilan buku yang baik dan bermakna adalah penting. Terutamanya dalam suasana sekarang dimana buku boleh dihasilkan dalam jangkamasa singkat dengan bantuan AI. Siapa sahaja boleh menulis buku, tanpa dapat dipastikan nilainya, atau kesan baik dan buruknya. Disinilah pentingnya peranan ilmuwan dalam menghasilkan penulisan buku yang mempunyai tahap keilmiahan yang tinggi, namun mampu dibaca awam. Mungkin ini adalah salah satu dari krisis yang timbul akibat peminggiran penulisan buku di universiti. Maka buku ditulis oleh orang awam yang mempunyai berbagai ragam nilainya. Akhirnya awam disajikan dengan penulisan yang berbagai yang tidak dapat dipastikan manfaat baik atau buruknya. Oleh itu, seruan penumpuan menulis buku dari kalangan ilmuan universiti menjadi lebih penting sekarang.

Rujukan:

1. Smith, Adam. 1776. An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations. London: W. Strahan and T. Cadell.

2. Marx, K. (1867). Das Kapital: Kritik der politischen Ökonomie Erster Band

3. Carson, R. (1962). Silent Spring. Houghton Mifflin Harcourt.

Ulasan

  1. Alangkah baiknya semak yg panjang tu dipotong agar pokok yg tumbuh agar lebih subor dan memberi hasil yg lumayan.. Dan semak yg ada bukan semuanya tidak berhasil.... Sbb ada semak yg kita hendak bersihkan boleh dibuat ulam dan herba.

    Oleh itu Penekanan kepada dua produksi ini perlu dilihat atas dasar keberkesanan nya dalam memberi impak pada pihak akademik dan masyarakat. Journal lebih kpd sumbangan pada ahli akademik penyelidik dan sebuah naskhah terbitan buku lebih besar fungsinya pada ahli penyelidik akademik dan masyarakat.

    Jurnal ibarat “bata kecil” dalam pembinaan rumah ilmu — setiap artikel menambah sedikit demi sedikit kepada struktur pengetahuan.

    Buku pula seperti “rumah” itu sendiri — ia menyusun, merangkum dan membina makna daripada bata-bata tadi.

    Cuma malangnya kita anggap sebuah Journal tu lebih signifikan daripada buku kerana ia lebih singkat prosesnya daripada utk membentuk sebuah gagasan yg besar dgn penerbitan sebuah buku. Terutama apabila buku itu ditulis dgn bersandar kan idea dan bagaimana membentuk kedudukan pemikiran sebagai suatu bahan ilmiah jangka panjang.

    Yg mana bukanlah sekadar Cerita2 naratif dongeng pak belalanv

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

EMPAT - PRINSIP PETER: SARJANA PRODUKTIF TIDAK SEMESTINYA AKAN MENJADI PEMIMPIN UNIVERSITI YANG BAIK

R udy adalah seorang tukang kasut yang pandai. Kasut buatannya menjadi idaman orang ramai. Cara jahitannya, cara potongannya, menghasilkan kasut yang mahal harganya kerana digemari orang seluruh negeri. Kepandaiannya telah sampai ke telinga Anuar, seorang ahli perniagaan yang berhasrat  memperolehi keuntungan dari kemahiran Rudy. Dia berhasrat melaburkan wang untuk membina sebuah bengkel berkelengkapan moden untuk Rudy. Dengan cara ini akan lebih banyak kasut jenama Rudy dapat dijual. Kalau Rudy biasanya membuat sepuluh pasang kasut sebulan, dengan mesin di bengkel yang akan dibina, maka beratus-ratus pasang kasut Rudy akan dapat dibuat sebulan. Kalau keuntungan dibahagi dua dengan Rudy pun, Anuar mencongak, Rudy masih akan mendapat pendapatan berkali ganda. Manakala Anuar sendiri akan memperoleh keuntungan dari pelaburannya. Setelah bengkel dibina, Rudy diberi tugas sebagai ketua pengeluaran yang akan mengawal kualiti dan melonjakkan kuantiti pengeluaran kasut bengkel itu. Dia tid...

SEPULUH- KISAH HAMBA DAN RANTAI KAKI: KERENAH BIROKRASI PENGURUSAN DAN MEKANISME PENGAJARAN DI UNIVERSITI

Alkisah di zaman dahulu, ada seorang hamba yang dipaksa bekerja di sebuah lombong permata. Sepanjang hidupnya dilombong itu, kakinya sentiasa dirantai dengan rantai besi yang berat untuk menghalangnya dari melarikan diri. Suatu hari dia dibebaskan sebagai seorang yang merdeka. Ketika dia keluar dari lombong tersebut, tiada siapa yang terfikir untuk membukakan rantai kakinya. Ketika dia berjalan menuju ke kampungnya, dia mengeluh kerana langkahnya sangat perlahan. Dalam perjalanan dia terserempak dengan seorang lelaki yang hairan dengan keadaannya. Lalu lelaki itu bertanya: "Tuan dari mana dan hendak kemana?" "Saya baharu dibebaskan dari perhambaan dilombong di sana, dan sekarang saya sangat teruja untuk bertemu keluarga saya dikampung" "Tahniah saya ucapkan, tetapi mengapa tuan kelihatan sedih?" "Saya merasa sangat letih berjalan dan langkah saya pun agak perlahan dek kerana rantai di kaki saya ini. Saya terfikir apakah yang boleh saya lakukan dengan ...

LAPAN-TUKUL BESI DAN PAKU: SAINTISME MENJADI ANUTAN ILMUAN MODEN.

Ada suatu peribahasa sejagat yang mengatakan, jika seseorang itu memegang tukul, segala yang dilihatnya seumpama paku. Ini bermaksud, kecenderungan seseorang untuk melihat dan menyelesaikan masalah hanya dengan cara yang dia biasa faham dan gunakan, walaupun ada kalanya cara itu tidak sesuai. Bayangkan seorang anak melihat ayahnya menggunakan tukul untuk memaku papan dinding. Teruja, dia turut ingin mencuba membuat perkara yang sama. Suatu hari apabila dia melihat ibunya sedang menyucuk jarum kedalam langsir tebal yang hendak dijahitnya, lalu sianak terus mengambil tukul dan mengetuk jarum agar lebih senang masuk ke dalam jahitan. Tentunya jarum boleh patah, bahkan mungkin jari ibunya akan cedera. Bagi si anak, jarum dan paku tiada bezanya. Bunyinya mungkin lucu, atau mustahil, tetapi hakikat inilah yang sedang dialami dalam pengurusan ilmu di universiti di negara ini. Ini menjadi masalah apabila alat atau cara untuk melaksanakan sesuatu, diambil dari pada cara yang biasa digunakan ole...

Kesan Budaya Penyelidikan Universiti Masakini Terhadap Kreativiti, Inovasi dan Kualiti Akademik

1. Pengenalan Dalam dua dekad terakhir, budaya penyelidikan global telah berubah dengan ketara akibat tekanan metrik yang melampau seperti publish or perish , faktor impak, penarafan universiti dan penilaian berasaskan kuantiti penerbitan. Walaupun pendekatan ini sering digambarkan sebagai kemajuan ke arah ketelitian saintifik, perubahan ini sebenarnya mencerminkan pengaruh semakin kuat daripada positivisme dan reduksionisme. Positivisme, yang cenderung menganggap pengetahuan hanya sah apabila ia dapat diukur dan dibuktikan secara empirikal, dan reduksionisme, yang memecahkan fenomena kompleks kepada unit-unit kecil yang terasing daripada konteksnya, telah membentuk bukan sahaja cara penyelidikan dijalankan, tetapi juga menentukan siapa yang mampu bertahan dalam dunia akademik (Broadbent, 2002). Esei ini berhujah bahawa budaya penyelidikan yang sangat positivistik dan reduksionis mewujudkan ekosistem akademik yang kurang mendorong kreativiti, rendah keupayaan inovasi dan lebih mengutam...