SEPULUH- KISAH HAMBA DAN RANTAI KAKI: KERENAH BIROKRASI PENGURUSAN DAN MEKANISME PENGAJARAN DI UNIVERSITI
Alkisah di zaman dahulu, ada seorang hamba yang dipaksa bekerja di sebuah lombong permata. Sepanjang hidupnya dilombong itu, kakinya sentiasa dirantai dengan rantai besi yang berat untuk menghalangnya dari melarikan diri. Suatu hari dia dibebaskan sebagai seorang yang merdeka. Ketika dia keluar dari lombong tersebut, tiada siapa yang terfikir untuk membukakan rantai kakinya. Ketika dia berjalan menuju ke kampungnya, dia mengeluh kerana langkahnya sangat perlahan. Dalam perjalanan dia terserempak dengan seorang lelaki yang hairan dengan keadaannya. Lalu lelaki itu bertanya:
"Tuan dari mana dan hendak kemana?"
"Saya baharu dibebaskan dari perhambaan dilombong di sana, dan sekarang saya sangat teruja untuk bertemu keluarga saya dikampung"
"Tahniah saya ucapkan, tetapi mengapa tuan kelihatan sedih?"
"Saya merasa sangat letih berjalan dan langkah saya pun agak perlahan dek kerana rantai di kaki saya ini. Saya terfikir apakah yang boleh saya lakukan dengan rantai besi ini supaya saya berjalan lebih pantas?"
"Apa maksud tuan ?" tanya lelaki itu kehairanan.
"Maksud saya, perlukah saya tambah sesuatu pada rantai ini agar jadi lebih ringan, atau saya sapu dengan minyak ajaib yang boleh meringankan beratnya?"
Agak bingung dengan pemikiran bekas hamba itu, lelaki itu menyarankan, "Apa kata kiranya saya bantu tuan untuk buangkan rantai dikaki tuan ini?"
Bekas hamba itu termenung sebentar, lalu berkata "Sekiranya saya membuang rantai ini, apakah yang saya boleh gunakan untuk mengikat kaki saya kembali?"
Inilah keadaan pemikiran kita sekarang ini. Kita dibebani oleh sesuatu yang kita sendiri pilih dan tak ingin lepaskan. Tamsil di atas mengambarkan apa yang saya rasa apabila melihat kemelut birokrasi dan penyempitan pemikiran di universiti. Universiti kini dibebani dengan birokrasi dalam setiap urusan menyebabkan ia menjadi sangat rumit dan menyusahkan. Selain dari itu, dalam konteks pengajaran pula, ia disaratkan dengan kaedah mekanistik dimana setiap aspek pengajaran di perincikan sehingga pensyarah merasa lemas dan resah untuk melaksanakan pengajaran. Namun yang lebih menghairankan, ialah reaksi kita terhadap kemelut ini. Setiap kali apabila dicadangkan agar kerenah birokrasi dan jerutan mekanisme sebegini dihapuskan, persoalan yang sama yang ditanya oleh bekas hamba tadi akan timbul, "Jadi apa yang perlu kita lakukan untuk menggantikan birokrasi dan mekanisme ini?". Atau, soalan yang selalu ditanya, "bagaimana nak ukur prestasi?, bagaimana kita nak bandingkan produktiviti?". Soalan sebegini menggambarkan kita tidak mampu berfikir sekiranya tiada ada ukuran atau arahan tertentu, kita tidak mampu hidup tanpa rantai besi di kaki.
Apapun, keresahan terhadap birokrasi dan kehidupan mekanistik ini merupakan fenomena yang sering kita jumpa dalam kehidupan moden. Kritikan terhadapnya telah digambarkan secara jelas oleh Kafka dalam karya-karya penulisannya. Antaranya ialah The Castle yang menceritakan bagaimana seorang juruukur tanah, tiba di sebuah kampung yang dikuasai oleh istana misteri. Dia berusaha mendapatkan akses dan pengiktirafan daripada pihak berkuasa istana, tetapi dihalang oleh birokrasi yang rumit dan tidak masuk akal, melambangkan perjuangan melawan sistem yang tidak dapat ditembusi*.
Untuk mengajar, pensyarah perlu mengisi beberapa jadual yang menentukan, kononnya, outcome dipatuhi. Kandungan pengajaran pula pula telah ditetapkan secara terperinci demi mencapai sasaran. Soalan peperiksaan pula diberi garispanduan agar tidak lari dari piawaian. Malah hampir setiap perkataan dikawal cara penggunaannya.
Dari segi pentadbiran pula, tatacara ala pengurusan kilang pula digunakan. Bukan sedikit institusi yang mengambil persijilan ISO demi memastikan kualiti. Konsep ISO ini bermula dari tatacara pengurusan kilang. Ia diangkat sebagai sistem pengurusan dengan hasrat untuk menyeragamkan kaedah pengurusan. Tidak terkecuali, ia memastikan keseragaman dalam penyampaian pengajaran dan pengurusan. Apabila ini menjadi asas pendekatan, tidaklah menghairankan terdapat rungutan bahawa tiada kelainan, dengan kata lain, tiada kreativiti dan keunikan dalam graduan yang dihasilkan, akibat dari ketaksuban kepada keseragaman.
Yang menariknya apabila menghadapi rungutan tentang kepincangan ini, penyelesaian yang diambil bukanlah dengan mengurangkan prosedur, sebaliknya mereka menokok tambah proses, prosedur, outcome, dan lain lain peraturan yang menyebabkan sistem menjadi semakin sesak, ketat dan merumitkan. Ibarat kisah hamba tadi, dia hanya memikirkan apa yang perlu ditambah untuk mengurangkan bebanan yang merantai kakinya.
Sebagai contoh, semasa learning outcome mula diperkenalkan dalam membina kurikulum universiti, hanya terdapat lapan perkara yang digariskan sebagai matlamat pengajaran. Kini ia telah bertambah sehingga menjadi tiga belas perkara. Ini berlaku kerana persoalan awal, seperti, kenapa hanya ada lapan matlamat, atau kenapa mesti lapan matlamat, dan banyak lagi persoalan yang timbul diketepikan atas nama kecekapan dan kepastian, menurut kecenderungan reduksionisme. Kini setelah mereka menyedari, dalam menurunkan matlamat kepada lapan, terdapat lompongan yang perlu ditutup. Akhirnya outcome baharu perlu ditambah, dan akan terus ditambah, menjadikan segalanya semakin rumit. Bukankah lebih baik, sejak awal lagi, tiada sekatan tentang kemungkinan outcome yang menentukan kemenjadian insan seorang graduan?
Dari segi pengurusan, kecenderungan menambah juga dapat dilihat. Ini dapat dilihat, dalam menangani kerenah kerumitan pengurusan, pekeliling demi pekeliling, tatacara dan carta alir, unit pengurusan baharu ditambah dan tumbuh macam cendawan, demi untuk menangani birokrasi yang semakin meningkat. Yang menghairankan, untuk mengatasi kerumitan, maka kerumitan baharu ditambah.
Fenomena ini sebenarnya telah menjadi pemerhatian pemikir tamadun sejak dahulu lagi. Dalam bukunya, Northcote Parkinson menceritakan mengenai peluasan angkatan laut Britain. Beliau menggambarkan bagaimana birokrasi cenderung berkembang tanpa mengira keperluan sebenar. Parkinson menggunakan contoh sejarah di mana jumlah kapal dalam angkatan laut berkurang, tetapi jumlah pegawai dan kakitangan masih meningkat. Ini menunjukkan bahawa organisasi sering berkembang berdasarkan logik dalaman mereka sendiri, bukannya keperluan luaran, dan ini membawa kepada pembaziran sumber dan ketidakcekapan. Fenomena ini dikenali sebagai "Hukum Parkinson."**
Kecenderungan menambah kerumitan untuk membetulkan kerumitan lain adalah sama seperti analogi cerita rantai besi di kaki di atas. Oleh kerana kebergantungan, ataupun mungkin ketaksuban kepada saintisme, maka tidak terfikir diminda kita untuk meleraikan birokrasi, untuk membuang mekanisme renyah dan sulit, sebaliknya kita hanya mampu berfikir apakah lagi yang perlu ditambah untuk mengatasi masalah. Yang pasti, kita menghasilkan Second Layer System yang membawa kerumitan yang baharu.***
Kebergantungan kita kepada birokrasi rumit dan mekanisme yang melelahkan berpunca dari fahaman saintisme dan reduksionisme yang ditanam di dalam pendidikan moden sejak dari kecil. Seperti kisah hamba di atas yang tidak terfikir untuk membuang rantai, kita tidak dapat membayangkan kehidupan tanpa birokrasi dan sistem mekanikal sebegini untuk maju kehadapan.
Keberanian untuk berubah bukanlah semata-mata dalam memikirkan perkara baharu, tetapi memastikan kita mampu membuang beban lama yang tidak sepatutnya dibawa. Kita tidak akan dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul dengan menggunakan pemikiran yang menjadi punca timbulnya masalah tersebut. Mampukah kita menyingkirkan ISO dari sistem pengurusan? Mampukah kita berhenti menganggap graduan sebagai hasil produk sebuah kilang? Mampukah kita percaya bahawa para pensyarah mempunyai kreativiti dan kekuatan sendiri dalam menentukan corak pengajaran? mampukah kita memberi kepercayaan kepada mereka tanpa menggariskan peraturan ketat dan terperinci dalam mereka menjalankan tugas sebagai ilmuan dan pendidik?
Persoalan sebegini perlulah direnung dan difikirkan. Telah terlalu lama ia diketepikan oleh ketaksuban saintisme dan tabiat reduksionisme. Ia menyebabkan timbul rasa takut untuk membuka ruang kepada kemanusiaan, kepada kreativiti dan semangat manusia. Akhirnya kita sendiri tercari-cari kemanakah hilangnya keinsanan di universiti kita.
Nota kaki:
*Kafka, Franz. The Castle. Translated by Willa and Edwin Muir, Penguin Books, 1971.
**Parkinson, C. Northcote. (1958). Parkinson's Law and Other Studies in Administration. Buccaneer Books, Inc.
***https://maketeachingsustainable.org/blog/2016/07/25/reductionism-may-be-destroying-education-but-theres-something-we-can-do-about-it

Ulasan
Catat Ulasan