Langkau ke kandungan utama

SEMBILAN - PEMBARAIAN MINDA: FRANKENSTEIN DAN RAKSASA CIPTAANNYA


Victor Frankenstein, seorang saintis yang teruja dengan ilmu perubatan sains moden, mengandaikan sekiranya dia dapat mencantumkan anggota badan dari bahagian-bahagian yang diambil dari mayat-mayat manusia yang baharu meninggal, tentunya tidak mustahil dia boleh mencipta seorang manusia baharu. Lalu dia pun melaksanakan impiannya itu, maka terhasillah seorang manusia yang seakan sempurna. Namun manusia ciptaannya itu, tersiksa memikirkan asal kewujudannya dan tujuan hidupnya. Berang dengan kegagalan penciptanya melengkapkan kemanusiaannya, ia membunuh teman dan keluarga penciptanya. Melihat bencana yang timbul dari ciptaannya, Frankenstein merasa bersalah dengan apa yang terhasil, lalu memburunya untuk memusnahkannya. Pemburuannya berakhir tragis,  Frankenstein sendiri mati dalam pemburuannya. Raksasa ciptaannya juga terasa sedih dan membunuh diri. Ini adalah kisah popular dari novel Franskenstein, tulisan Mary Shelley yang dihasilkan pada tahun 1818, yang meneroka erti kehidupan melalui penerokaan sains dan kesannya kepada kemanusiaan.

Apabila pemikiran moden, yang taksub kepada pemikiran saintifik melampau, dan cenderung membaraikan kehidupan ala reduksionisme,  cuba menyelesaikan sesuatu masalah kehidupan, maka mereka akan cuba mencantumkan semula bahagian-bahagian yang terpisah tersebut. Sayangnya yang sering terjadi ialah lahirnya raksasa ciptaan Frankenstein. Ia kelihatan seperti manusia, bergerak, berjalan dan bercakap seperti manusia, namun ia adalah raksasa yang tidak secerdik manusia. Perbuatan memisahkan fenomena hidup untuk diuliti setiap bahagiannya secara berasingan tanpa ada suatu kewujudan roh keinsanan yang merangkumkan semua pecahan tersebut adalah lumrah dalam tamadun hari ini atas nama kemajuan saintifik. Dengan pemikiran reduksionisme yang melihat dunia sebagai bahagian terpisah yang mudah dicantumkan dengan pemikiran saintifik, ia boleh membawa petaka seperti yang diceritakan di dalam kisah di atas. Hakikatnya, manusia tidak sama dengan mesin atau jentera. Mesin boleh dileraikan, bahagian2nya boleh ditukar ganti, dan jika dipasang semula akan sempurna seperti asal. Namun kehidupan makhluk bernyawa tidak sedemikian. Walau secanggih mana pun sains moden, mencantumkan manusia dari bahagian-bahagian yang terpisah, atau menghasilkan klon DNA sekalipun, tidak akan menghasilkan manusia yang sempurna dan asli. Bukan sahaja entiti biologi seperti manusia, tumbuhan ataupun haiwan, bahkan sistem sosial, pendidikan dan pentadbiran yang berkait dengan tabiat manusia juga tidak boleh dianggap seperti mesin yang boleh dibaraikan. Andainya hal ini tak diambil peduli, maka apa yang dicantumkan akan menjadi jelek,tidak bernyawa. atau mungkin membahayakan.

Ambil contoh pendekatan pendidikan kita hari ini yang mengangkat kerangka taksonomi Bloom, yang menganggap manusia ini mempunyai tiga bahagian jiwa yang berbeza dan boleh di manipulasi berasingan seperti tukang jam membaiki bahagian jam yang rosak. Aspek Kognitif diajar dan diuji di dalam subjek yang tersendiri, aspek psikomotor dianggap suatu kelebihan yang lain dan di ajar dalam pendidikan Jasmani atau kemahiran pertukangan misalnya. Aspek afektif (semangat dan jiwa) di ajar dalam subjek ugama dan moral. Kesemuanya diberi penekanan tetapi dalam bentuk terpisah oleh guru yang berbeza, dan dengan penilaian yang berbeza. Walaupun pendekatan begini mempunyai kelebihan dari segi fokus dan kecekapan pengajaran, namun ada kelompongan yang timbul. Seumpama raksasa dalam cerita tadi, ia kelihatan seperti insan yang lengkap, tetapi ia bukan suatu kewujudan yang mempunyai ruh dan jiwa keinsanan. Akibatnya, insan yang dididik sebegini didapati tidak menjadi insan yang lengkap. Ada yang lebih kognitifnya, tapi tiada semangat setia kawan, atau rasa bertanggungjawab. Ada yang begitu hebat di dalam sukan, atau mahir membuat sesuatu, tetapi tidak ada kefahaman tentang resam alam dan tatatusila sosial, ada yang sangat berempati dengan rakan, tetapi tiada kemahiran untuk membantu diri sendiripun.

Memang ada kisah kecemerlangan dikalangan mereka, dan ia berbeza di dalam setiap murid. Ada yang cemerlang dalam satu domain tetapi harus dipastikan domain yang lain tidak tertinggal. Tetapi hari ini kita lebih banyak mendengar rungutan bahawa murid tiada kreativiti, tiada sifat tanggungjawab, tiada kemahiran bersosial, tidak mampu berfikir secara dinamik ataupun diluar kotak. Apa yang terjadi? Mungkinkah sistem pendidikan berteraskan taksonomi bloom ini menghasilkan raksasa dalam kisah Frankenstein? Kalau dahulu, guru yang mengajar subjek yang berbeza faham erti kemenjadian insan yang merangkumi semua aspek pembelajaran bahkan termasuk aspek kerohanian. Namun guru hari ini dibebankan dengan objektif, outcome dan proses kecil yang memaksa mereka fokus kepada hanya bahagian yang terpencil dalam mendidik seseorang murid. Akibatnya kita sering mendengar kemelut pendidikan negara akhir akhir ini. Pada 2023 telah kedengaran bahawa generasi baharu semakin tidak menggemari pendidikan, tidak mahu mengambil peperiksaan dan sebagainya. Mungkin mereka tidak mahu dianggap seperti jasad mati yang boleh dileraikan sesuka hati.

Kepincangan ini bukan hanya disedari oleh masyarakat, bahkan di kalangan ilmuan dan pendidik juga. Pada tahun 2022 Saya pernah menghadiri suatu dialog untuk membincangkan krisis pendidikan negara yang gagal menghasilkan kemenjadian insan. Mereka sedar pendidikan sekarang sedang tenat. Antara panel yang hadir ialah salah seorang pelopor sistem pendidikan negara yang berteraskan Bloom itu sendiri. Namun bukannya hendak menyelidiki kelemahan pembaraian Bloom, sebaliknya dia merumuskan bahawa taksonomi Bloom itu sudah sempurna, tapi yang bersalah ialah guru kerana tidak tahu mencantumkan domain yang berbeza. Sungguh aneh. Yang mencincang keinsanan murid adalah pakar-pakar ini, tetapi disalahkan pula guru biasa yang katanya tidak pandai mencantumkan jiwa murid yang terpisah itu. Adakah mereka sendiri tahu bagaimana menghasilkan cantuman insan? kalau tahu kenapa tidak didedahkan kepada guru biasa yang hanya akur arahan mereka untuk membaraikan kepada tiga domain tadi?

Tabiat membarai ini juga boleh kita lihat di universiti. Ia dipacu oleh kecenderungan untuk mengukur dengan nombor untuk membuktikan pencapaian dan kemajuan. Selain dari kurikulum yang turut sama berpaksikan taksonomi Bloom, pembaraian juga berlaku dalam mengurus kesarjanaan pensyarah dan pentadbiran universiti. Maka kesarjanaan dileraikanlah kepada bahagian kecil yang boleh diukur secara berasingan. Pertamanya kesarjanaan dibaraikan kepada pengajaran, penyelidikan, kemasyarakatan. Maka diwujudkanlah tiga domain utama, yang masing-masing dipertanggungjawabkan kepada pentadbir* berbeza demi 'kecekapan' mengumpul mata untuk menunjukkan prestasi.

Apabila ini terjadi, setiap pentadbir akan berebut memaksa pensyarah untuk menunjukkan pencapaian kuantiti bagi bahagian atau portfolio masing-masing. Untuk berlaku adil kepada ketiga-tiga pentadbir, semua orang perlu menyumbang markah untuk kesemua bahagian. Walaupun kononnya ada kelonggaran untuk memilih 'laluan kerjaya berbeza (contohnya pensyarah boleh memilih laluankerjaya sebagai penyelidik, atau pengajar atau pakar perundingan), acuan kuantitinya tetap perlu dibahagikan sama rata agar kesemua portolio tadi dapat diseimbangkan diperingkat universiti. Akhirnya pensyarah terpaksa melaksanakan kesemua aspek tersebut. Ia kini bukan lagi menjulang keunikan setiap pensyarah yang hebat dalam kekuatan yang berbeza, tetapi menyederhanakan kekuatan agar kesemua metrik pengukuran stabil. Ia ibarat memaksa kuda dan ikan untuk sama sama berlari dan berenang. Akibatnya kuda tidak dapat cemerlang kerana walaupun ia kuat berlari, tapi ia tidak pandai berenang, dan ikan tidak akan cemerlang kerana ia tidak boleh berlari walaupun hebat berenang. Akhirnya pensyarah universiti tidak dapat mencapai kecemerlangan kerana disederhanakan oleh kehendak KPI yang menjadi indeks pengurusan universiti.

Pembaraian pengajaran di universiti lebih tragis. Matlamat pengajaran dipecahkan kepada hasil pembelajaran (learning outcome) yang telah ditentukan oleh golongan pentadbir. Apabila mereka dapati ada kelompongan yang terjadi, maka ditambah outcome baharu untuk mengisi kelompongan itu. Tidakkah mereka sedar, bahawa bila jiwa manusia dicincang, yang akan hilang ialah ruh keinsanan itu sendiri? Dan ia tidak akan dapat ditemui apabila dicantumkan semula bahagian-bahagian yang telah mati. Akan sentiasa ada kelompongan. Oleh itu kita akan sentiasa mencari kenapa cantuman ini masih tidak sempurna? Sejak lebih sedekad pengajaran berkiblatkan outcome, kita menyaksikan bilangan outcome semakin bertambah dan tidak pernah berkurang. Natijahnya, pendidikan insan kini menjadi seperti produk kilang yang spesifikasinya ditentukan oleh sekelompok kecil yang berkuasa di atas. Namun begitu, keinsanan yang hilang tadi tetap tidak akan ditemui walaupun bahagian fizikal telah lengkap keseluruhannya.

Raksasa Frankentein bukan sahaja lahir dari proses pengajaran, bahkan dalam penyelidikan dan penjanaan ilmu juga, kita tidak terlepas. Sebagai contoh sekarang ini (2025) kesemua penyelidikan harus berpaksikan SDG17. SDG 17 adalah hasil pemikiran reduksionis yang cuba menggambarkan bahawa kelestarian alam dan manusia boleh dicapai sekiranya kita fokus kepada beberapa perkara kecil yang boleh dijuarai oleh minda hebat tapi handal dalam bidang yang sempit. Ia dipisahkan kepada sumber tenaga, kemiskinan, makanan, teknologi, pendidikan dan sebagainya. Namun seperti cerita tadi, penyelesaian dari pendekatan sebegini biasanya 'mati' dan tiada jiwa.

Sebagai contoh, andaikan kita ingin menyelesaikan masalah capaian internet di sebuah kampung yang jauh terpencil. Lalu seorang professor dalam bidang teknologi komunikasi diberikan sejumlah wang untuk mengkaji masalah dan memberi penyelesaian. Maka dengan projek penyelidikan canggihnya maka dia menghasilkan suatu sistem internet yang murah dan terpencil dengan menggunakan tenaga suria dan capaian satelit yang terkini.  Setelah sistem nya dibawa ke kampung tersebut, didapati tiada siapa dari kalangan orang kampung yang dapat memanfaatkannnya, kerana masalahnya mereka tidak celik digital. Bahkan mereka tidak mampu memiliki hatta sebiji komputer pun. Ia adalah masalah  ekonomi yang berkait dengan masalah pendidikan. Namun Sang profesor tadi telah boleh cuci tangan, projeknya telah dikira siap dan penerbitan telahpun dihasilkan seperti yang dikehendaki. Apabila ditanya mengapa projek nya gagal memberi manfaat, dia menjawab, "Itu masalah sosioekonomi, saya pakar ICT dan bukan pakar sosioekonomi". Kisah sebegini bukanlah kisah terpencil. Bahkan saya sendiri pernah menghadapi situasi yang sama namun biarlah butirannya dirahsiakan demi menjaga nama baik rakan seperjuangan dan organisasi.

Sebagaimana masalah dengan kelompongan dalam pembelajaran tadi, SDG17 juga mempunyai masalah apabila bahagian yang lompong terlalu banyak untuk ditutup. Beberapa tahun lepas, saya pernah menghadiri suatu persidangan disebuah universiti. Penganjur berhasrat untuk memperkenalkan satu lagi komponen yang dirasakan lompong untuk melengkapi SDG17 (cadangan itu akan menjadikannya SDG18). Ia bermatlamat memperkenalkan dimensi kerohanian dan moral sebagai satu lagi komponen dalam SDG. Lalu saya mempersoalkan, bukankah dengan adanya SDG ke 18 ini menyebabkan mereka yang berfokus dalam domain lain akan meminggirkan soal kerohanian dan etika dalam pendekatan mereka, kerana ia bukan SDG yang mereka fokus?

Sebagai penyelesaian teknikal dan terpencil, tidak dinafikan pendekatan SDG17 boleh meningkatkan kecekapan penyelesaian masalah tertentu. Namun seperi kisah raksasa Frankenstein tadi, hakikat kelestarian tidak akan wujud dengan cara begini. Masalah kelestarian bukanlah masalah teknikal atau metafizikal atau sosial, tetapi ia adalah masalah sistemik yang memerlukan keprihatinan kepada berbilang aspek dalam mencari penyelesaiannya. Apabila pembaraian sebegini mengundang penyelesaian yang terpisah, maka kita lihat dunia hari ini semakin diambang kemusnahan, walaupun pencapaian matlamat2 kecil dapat dilihat.

SDG17 sepatutnya digunakan sebagai panduan untuk pentadbir dan pengurus membuat keputusan teknikal yang berkaitan dengan kewangan ataupun perlaksanaan. Diperingkat universiti, ilmuwan seharusnya lebih terbuka dalam melihat fenomena masyarakat dan alam, agar penyelesaian yang benar2 pragmatik dan menyeluruh berjaya dicapai. Meletakkan SDG17 sebagai kerangka pemikiran, pembelajaran dan pendidikan adalah proses pembaraian yang mencincang kebijaksanaan dan kemanusiaan.

Kegilaan mencincang (reduksionisme) dan menjulang sains (saintisme) secara berlebihan perlulah dilihat dari kacamata Mary Shelley, apakah kita mahu menghasilkan raksasa yang tidak berjiwa dan memusnahkan kesarjanaan?

ZJ, Mei 2025


Nota kaki.

* Di universiti negara, pentadbir2 ini adalah timbalan2 naib canselor yang mempunyai portfolio yang berbeza.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Universiti kini dipenuhi Pensyarah, Namun Ketandusan Sarjana.

Oleh Fikir Lestari  ( berbantu AI ) Sekali imbas, istilah pensyarah universiti dan sarjana kelihatan seolah-olah merujuk kepada golongan yang sama. Namun, kedua-duanya sebenarnya merujuk kepada orientasi yang sangat berbeza terhadap ilmu, autoriti, dan tujuan intelektual. Seorang pensyarah universiti pada asasnya ialah satu peranan dalam sesebuah institusi . Identitinya ditentukan oleh pelantikan, beban tugas, dan akauntabiliti pentadbiran. Jam pengajaran, hasil pembelajaran, rubrik penilaian, petunjuk prestasi utama, serta pematuhan kepada kerangka institusi membentuk kehidupan intelektual harian seorang pensyarah. Ilmu, dalam konteks ini, difahami sebagai sesuatu yang perlu disampaikan, distrukturkan, dan diukur . Autoriti pensyarah tidak banyak bergantung pada kedalaman kefahaman, tetapi pada kelayakan formal, pemilikan silibus, dan keselarasan dengan kurikulum yang diluluskan. Malah penyelidikan pun semakin bersifat instrumental, dinilai melalui bilangan penerbitan, indeks s...

EMPAT - PRINSIP PETER: SARJANA PRODUKTIF TIDAK SEMESTINYA AKAN MENJADI PEMIMPIN UNIVERSITI YANG BAIK

R udy adalah seorang tukang kasut yang pandai. Kasut buatannya menjadi idaman orang ramai. Cara jahitannya, cara potongannya, menghasilkan kasut yang mahal harganya kerana digemari orang seluruh negeri. Kepandaiannya telah sampai ke telinga Anuar, seorang ahli perniagaan yang berhasrat  memperolehi keuntungan dari kemahiran Rudy. Dia berhasrat melaburkan wang untuk membina sebuah bengkel berkelengkapan moden untuk Rudy. Dengan cara ini akan lebih banyak kasut jenama Rudy dapat dijual. Kalau Rudy biasanya membuat sepuluh pasang kasut sebulan, dengan mesin di bengkel yang akan dibina, maka beratus-ratus pasang kasut Rudy akan dapat dibuat sebulan. Kalau keuntungan dibahagi dua dengan Rudy pun, Anuar mencongak, Rudy masih akan mendapat pendapatan berkali ganda. Manakala Anuar sendiri akan memperoleh keuntungan dari pelaburannya. Setelah bengkel dibina, Rudy diberi tugas sebagai ketua pengeluaran yang akan mengawal kualiti dan melonjakkan kuantiti pengeluaran kasut bengkel itu. Dia tid...

Kesan Budaya Penyelidikan Universiti Masakini Terhadap Kreativiti, Inovasi dan Kualiti Akademik

1. Pengenalan Dalam dua dekad terakhir, budaya penyelidikan global telah berubah dengan ketara akibat tekanan metrik yang melampau seperti publish or perish , faktor impak, penarafan universiti dan penilaian berasaskan kuantiti penerbitan. Walaupun pendekatan ini sering digambarkan sebagai kemajuan ke arah ketelitian saintifik, perubahan ini sebenarnya mencerminkan pengaruh semakin kuat daripada positivisme dan reduksionisme. Positivisme, yang cenderung menganggap pengetahuan hanya sah apabila ia dapat diukur dan dibuktikan secara empirikal, dan reduksionisme, yang memecahkan fenomena kompleks kepada unit-unit kecil yang terasing daripada konteksnya, telah membentuk bukan sahaja cara penyelidikan dijalankan, tetapi juga menentukan siapa yang mampu bertahan dalam dunia akademik (Broadbent, 2002). Esei ini berhujah bahawa budaya penyelidikan yang sangat positivistik dan reduksionis mewujudkan ekosistem akademik yang kurang mendorong kreativiti, rendah keupayaan inovasi dan lebih mengutam...

Siapa yang Membaca Kertas Akademik di Wall Street?

 Oleh Fikir Lestari. Dalam satu temu bual YouTube di saluran Jonathan B., Jim O’Shaughnessy (4th January) ditanya tentang hubungan antara berfikir dan bertindak—tentang sama ada kerja intelektual masih mempunyai makna dalam dunia yang digerakkan oleh pelaksanaan, kelajuan, dan pasaran. Pada satu ketika, hampir secara bersahaja, beliau melontarkan satu soalan yang amat menusuk: “Siapa yang membaca kertas akademik di Wall Street?” Ungkapan ini tidak hadir sebagai provokasi kosong, tetapi sebagai satu diagnosis. Ia merangkumkan, dalam satu ayat, jurang yang semakin melebar antara penyelidikan akademik dan dunia nyata yang suatu ketika dahulu cuba difahaminya. Universiti tidak sentiasa menjadi institusi yang terpisah. Dalam sejarah, kesarjanaan lahir daripada masalah kehidupan sebenar—perdagangan, perubatan, undang-undang, tadbir urus, seni bina, dan pertanian. Ilmu berkembang secara perlahan, namun bersifat telap. Idea meresap ke dalam amalan, dan amalan pula membentuk semula teori. S...

TIGABELAS: RESIPI LAPUK, RESTORAN MEWAH, DAN KETANDUSAN RASA DALAM UNIVERSITI

  Oleh Fikir Lestari Faiz diterima bekerja sebagai pembantu chef di sebuah restoran yang terkenal. Nama restoran itu besar, dapurnya tersusun rapi, dan setiap hidangan keluar mengikut piawaian yang telah diuji berpuluh kali. Di dinding dapur tergantung buku resipi tebal—lengkap dengan sukatan, masa, dan langkah yang tidak boleh disimpang. Tugas Faiz mudah: ikut resipi, jangan bertanya terlalu banyak, dan pastikan setiap pinggan rasa sama seperti semalam. Pada awalnya, Faiz cemerlang. Masakannya kemas, konsisten, dan pelanggan jarang merungut. Pengurusan gembira. Statistik jualan stabil. Dari sudut prestasi, Faiz ialah tukang masak yang baik. Tetapi perlahan-lahan, satu kegelisahan muncul. Faiz sedar bahawa dia boleh memasak makanan yang baik, tetapi dia belum tentu menjadi seorang tukang masak yang baik. Dia tahu resipi, tetapi tidak tahu kenapa resipi itu wujud begitu. Dia tahu sukatan, tetapi tidak memahami bahan. Dia tahu masa, tetapi tidak peka terhadap perubahan cuaca, kesegar...