Langkau ke kandungan utama

LAPAN-TUKUL BESI DAN PAKU: SAINTISME MENJADI ANUTAN ILMUAN MODEN.


Ada suatu peribahasa sejagat yang mengatakan, jika seseorang itu memegang tukul, segala yang dilihatnya seumpama paku. Ini bermaksud, kecenderungan seseorang untuk melihat dan menyelesaikan masalah hanya dengan cara yang dia biasa faham dan gunakan, walaupun ada kalanya cara itu tidak sesuai. Bayangkan seorang anak melihat ayahnya menggunakan tukul untuk memaku papan dinding. Teruja, dia turut ingin mencuba membuat perkara yang sama. Suatu hari apabila dia melihat ibunya sedang menyucuk jarum kedalam langsir tebal yang hendak dijahitnya, lalu sianak terus mengambil tukul dan mengetuk jarum agar lebih senang masuk ke dalam jahitan. Tentunya jarum boleh patah, bahkan mungkin jari ibunya akan cedera. Bagi si anak, jarum dan paku tiada bezanya.

Bunyinya mungkin lucu, atau mustahil, tetapi hakikat inilah yang sedang dialami dalam pengurusan ilmu di universiti di negara ini. Ini menjadi masalah apabila alat atau cara untuk melaksanakan sesuatu, diambil dari pada cara yang biasa digunakan oleh minda yang terlatih dalam cara yang sama. Sehinggakan ia digunakan untuk menyelesaikan masalah yang tidak sesuai dengan cara itu. Secara ringkasnya, dalam ketaksuban kepada pemikiran saintifik, segala ilmu di universiti hendak di cetak dengan kaedah ilmu sains, bahkan perkara yang jelas asalnya bukan berasas kan pemikiran saintifik yang reduksionistik dan mekanistik, seperti sastera atau seni, juga ditekap dengan acuan sains. Ini dipanggil saintisme. Ia adalah pegangan bersifat anutan, dan bukan berasaskan logik dan rasional.

Masalah timbul apabila pendekatan reduksionis dan mekanistik dalam pemikiran saintifik menyisihkan segala perkara yang bersifat subjektif, ghaib ataupun kompleks, atau secara ringkasnya hal-hal yang bersifat metafizik. Oleh itu pemikiran sebegini mempunyai risiko seperti penyelesaian yang terlalu cetek, tidak syumul, bahkan membunuh keaslian dan kreativiti, dan gersang akan aspek keinsanan. Jadi tidaklah hairan bila kita dengar rungutan tentang tiada lagi idea baharu atau inovasi baharu yang datang dari universiti sejak kebelakangan ini. Ataupun kemajuan saintifik membawa kepada kemerosotan nilai kemanusiaan. Satu perkara yang perlu difahami, saintisme lah yang menjadi sebab wadah ilmu di universiti hari ini dikuasai oleh mereka dari bidang sains dan teknologi. (hal ini ada saya jelaskan secara ringkas dalam artikel bertajuk 'Prinsip Peter- Ilmuwan Produktif tidak semestinya menjadi pemimpin universiti yang baik'), Turutan dari ini, pemikiran saintifik turut menjadi acuan pengurusan ilmu dan pengajaran di universiti.

Untuk memahami kesan saintisme, kita ambil contoh bidang yang berparadigma lain dari bidang sains. Bidang seni misalnya. Kalau menurut kehendak ilmu bidang seni, ia memerlukan ilmuwan bidang ini melukis, membina arca, membuat pameran, dan membahaskan ilmu tersebut dengan masyarakat dan pengkritik melalui instalasi, video, wacana awam, atau menghasilkan warkah puisi, persembahan, nyanyian di atas pentas, atau melalui media pelbagai. Namun kini, oleh kerana tuntutan menghasilkan warkah menurut wadah bidang sains, maka mereka disuruh membuat penerbitan dalam makalah ilmiah peer-review* yang selama ini menjadi wadah keilmuan bidang sains dan teknologi.

Akibat dari kaedah penilaian ilmu yang digariskan oleh ilmuwan produktif yang rata-ratanya dari bidang sains dan teknologi, maka bidang kemanusiaan dan seni mula berubah rupa kearah teras yang sama. Kini mula wujud makalah ilmiah bidang seni dan kemanusiaan yang semata2 diwujudkan untuk memenuhi keperluan penerbitan 'saintifik'. Ini memberi kesan bukan sahaja kepada wadah penyebaran ilmu itu, bahkan kandungan ilmu juga akan mula berubah kearah yang lebih mekanistik dan menyisihkan nilai metafizik yang memang tidak digemari oleh ilmu sains dan teknologi moden. Contohnya kalau dahulunya bidang senibina banyak membahaskan tentang apa erti falsafah rekabentuk yang menyentuh jiwa ataupun jatidiri sesebuah tamadun, kini ia beralih kepada teknik binaan, teknologi untuk keselesaan, dan sains tentang bahan binaan. Semakin kurang arkitek dapat berbahas soal kerohanian dalam rekabentuk, atau soal kemanusiaan dalam tamadun, atau kesan kapitalisme dalam rekabentuk bandar. Ini kerana soal teknologi lebih mudah dikenalpasti kesannya daripada isu jiwa, kerohanian, tingkahlaku masyarakat ataupun kesejahteraan.

Begitu juga bidang kemanusiaan yang lain. Kalau dahulu, pencetus revolusi ekonomi dan sosial datang dari penulisan buku seperti hasil tulisan Adam Smith, Karl Marx, Kant dsb. Kini pemikiran sains kemanusiaan meniru pendekatan yang sama dan beralih kepada penerbitan makalah peer review. Selain dari itu, ia juga menyebabkan sains sosial lebih cenderung kepada pendekatan reduksio-mekanistik bidang sains. Kecenderungan ini bermula sejak Comte memperkenalkan pendekatan postivisme di dalam sains sosial. Akhirnya kajian sains sosial juga lebih berkiblatkan penerbitan makalah 'saintifik' yang bergantung kepada mekanisme peer review tadi. Kalau dahulu Adam Smith dan Karl Marx mengubah ekonomi dan politik melalui pemikiran yang asli dan tidak dikongkong oleh pandangan awam waktu itu, kini pemikir sains sosial harus berkarya didalam rangka konvensional yang terperangkap dalam kejumudan semasa melalui kongkongan proses peer review itu tadi.

Punca masalah ini tidak boleh dipersalahkan semata-mata kepada pemikiran saintifik, tetapi kepada kecenderungan dan ketaksuban kepada pemikiran saintifik, yang disebut sebagai saintisme tadi. Ada beza antara keduanya, Pemikiran saintifik yang berasaskan lojik, bukti empirikal dan rasional, adalah salah satu kaedah pemikiran yang penting dalam pembangunan tamadun dunia. Saintisme pula ialah ketaksuban melampau apabila pemikiran saintifik diangkat sebagai satu-satunya cara untuk menilai kebenaran. Ia bukan suatu  kaedah yang rasional, bahkan ia tidak lebih dari anutan membuta tuli kepada paradigma saintifik sehinggakan ada waktunya ia menjadi suatu kebodohan. Semangat saintisme menggunakan lensa yang sempit dalam mencari hakikat kejadian. Segala yang diluar dari lensa ini tidak wujud. Hal ini boleh digambarkan dengan kisah seorang yang sedang mencari sesuatu di bawah lampu jalan. 

"Apa yang tuan cari ya?" tanya seorang pemerhati.

"Cincin saya yang hilang" jawab lelaki itu.

"Dimana ia jatuh?"

"Di padang dihujung jalan ini"

"Habis tu, kenapa cari di sini?"

"Sebab padang tu gelap, di sini ada lampu"

Kebodohan seperti ini terlihat di universiti, apabila nilai metafizik cuba dicari dengan kaedah saintifik, sedangkan asas pemikiran saintifik ialah menyisihkan metafizik**. Seumpama seorang mengisytiharkan bahawa semangat manusia tidak wujud, kerana ia tidak dapat dilihat dibawah mikroskop. Akibatnya juga, kita lihat hari ini kesarjanaan bukan dinilai dari segi kesan kepada masyarakat, tetapi kepada bilangan penerbitan, bilangan sitasi, jumlah geran, bilangan harta intelek dan lain lain metrik yang senang dikira secara kuantitatif.

Kesan pergantungan kepada bukti empirikal kepada ilmu diluar bidang sains tulen juga menimbulkan banyak masalah. Bayangkan, seandainya untuk menilai kehebatan seorang pelukis, dia disuruh melaporkan saiz kanvasnya, jenis kanvasnya, kandungan kimia bahan warna yang digunakan, kerana sains hanya boleh menilai apa yang boleh diukur, ditimbang, dicerap dan dilaporkan. Sedangkan hasil karya itu sebagai penyentuh hati, pembakar semangat, atau pencetus rasa, tidak lansung dipedulikan. Nilai-nilai sebegini adalah nilai metafizik, sedangkan saintisme awal-lagi menafikan keperluan segala macam perkara metafizik.

Antara masalah yang timbul dari pengambilan budaya saintifik dalam bidang seni ialah, speperti yang disebut awal tadi, iaitu adanya keperluan peer review dalam kajian dan penerbitannya. Iaitu setiap kenyataan ilmiah seorang ilmuwan perlu disokong dan dinilai oleh rakan setaraf bagi membuktikan kesahihan kenyataannya. Ini seakan merujuk kepada konsep replicability dalam bidang sains. Secara ringkasnya, peer review memerlukan kaedah mensahihkan sesuatu kebenaran yang digagaskan itu melalui pendapat orang lain yang sama bersetuju dengan keteguhan gagasan penulis. Ini sangat membunuh kreativiti dan kebebasan jiwa pengkarya bidang seni. Seandainya Pablo Picasso perlu mendapat persetujuan dari pelukis sezamannya semasa dia mula mempopularkan lukisan abstrak kubisme, mungkin hari ini kita tidak akan mendengar nama Picasso, dan seni moden mungkin tidak akan wujud. Ini kerana semasa dia mula memperkenalkan kubisme, ia dianggap rakan pengkarya seni sezamannya sebagai kemodenan melampau, hodoh dan tidak layak digelar seni. Namun kita tahu oleh kerana dia tidak memperdulikan pandangan umum semasa itu, maka kini kubisme dianggap sebagai cetusan idea baharu yang bukan sahaja mengubah takrifan seni, bahkan ia turut menerobos kedalam pemikiran senibina dan pemikiran pasca moden yang lain.

Begitu juga kalau dilihat beberapa inovasi moden masakini, seandainya pemikiran seumpama peer review  dijadikan asas dalam penghasilan inovasi, kita mungkin tidak akan mencipta inovasi moden. Semasa Steve Job mengenengahkan dan mempopularkan idea komputer peribadi sebagai produk yang bakal menguasai pasaran komputer, tidak ada sesiapa yang bersetuju akan kepentingannya. Bahkan syarikat gergasi Hewlett Packard, apabila ditawarkan peluang perniagaan bersama Apple untuk menghasilkan komputer peribadi, menolaknya mentah-mentah kerana pada pendapat umum ketika itu, tidak ada keperluan untuk seseorang memiliki komputer secara peribadi. Bayangkan seandainya Steve Job akur dengan pendapat umum semasa itu, sudah tentu kita tidak melihat revolusi komputer seperti hari ini. Sedangkan didalam bidang sains masakini, persetujuan rakan setara, atau boleh diterjemahkan sebagai peer review, adalah penentu kesahihan idea atau ilmu. Maka akhirnya kita lihat, timbullah kritikan yang mengatakan hari ini saintis tidak mampu lagi berinovasi ***

Masalah pemegang tukul yang menganggap semua masalah sebagai sebatang paku, paling memuncak di institusi yang seharusnya membebaskan minda dan semangat penerokaan yang inovatif, iaitu di universiti. Malangnya, di universitilah, penyempitan idea, penyeragaman minda berlaku dengan sangat hebat, dipacu oleh kesombongan anutan saintisme yang kini menjadi penggerak nadi universiti. Segalanya diukur dengan kepercayaan saintisme. Bagi mereka, saintisme adalah kaedah terunggul dalam menilai kebenaran, sedangkan ia hanyalah tukul besi yang tidak mampu mengetuk jiwa merdeka dan minda kreatif.

Masalah yang sama boleh kita lihat di dalam pendidikan sekolah. Ketaksuban kepada saintisme jugalah menyebabkan akhir akhir ini penggubal pendidikan melaungkan slogan STEM sebagai pemangkin pendidikan yang jitu dan berkesan. seolah-olah kaedah pembelajaran yang berteraskan ilmu sains teknologi dan matematiklah satu satunya cara yang berkesan untuk mendidik insan tanpa mengira apakah subjek yang diajar. Kesan negatif dari tren ini akan dilihat bertahun dari sekarang. Namun masalah yang timbul dari ketaksuban saintisme di pendidikan sekolah memerlukan ulasan dan perdebatan tersendiri.

Bolehlah kita simpulkan disini, kalau artikel sebelum ini, saintisme menyebabkan saintis dari bidang sains tulen lebih digemari menjadi pemimpin universiti, artikel ini pula menggagaskan bahawa saintisme menyebabkan kaedah saintifik pula menjadi paradigma pengurusan ilmu dan pengajaran yang lebih digemari, walaupun ia membawa banyak kekeliruan dan kemerosotan nilai metafizik, menyekat kreativiti, mengikis keinsanan dan akhirnya merendahkan nilai ilmu.

Nota:

* Peer Review (Ulasan rakan setaraf) ialah kaedah memastikan kekuatan sesuatu artikel perlu diulas dan dipersetujui oleh pihak ketiga yang mewakili pendapat semasa kelompok bidang tersebut. Dalam bidang sains ini diperlukan untuk memastikan kenyataan atau pendapat yang dihasilkan memenuhi kehendak ilmu yang dipersetujui ramai.

**salah satu prinsip sains ialah pencukur Ockham, dimana penjelasan tentang sesuatu fenomena seharusnya yang paling cetek dan ringkas. Segala yang rumit dan tidak nyata dianggap tidak berasas.

*** Rujuk penulisan Lisa Sheperd pada 24 Januari 2023: https://abitofbio.medium.com/why-science-has-become-less-innovative-56630c18901a

Ulasan

  1. Satu penulisan (kritikan) yang baik. Reduksionisme membentuk saintisme yang keras dan kaku.

    Seperti yang dibincangkan, sains pada asalnya dibangunkan oleh ahli falsafah. Hari ini sains menggugurkan falsafah secara total.

    Kita perlukan lebih ramai generalis kerana polymath seolah-olah hampir mustahil untuk kita ramaikan.

    BalasPadam
  2. Negara perlu meraikan disiplin ilmu yg lebih terbuka serta tiba masanya untuk menyatukan kepelbagaian pengetahuan yg bersifat dinamik.... ALANGKAH RUGI dan jumud nya kita apabila kita masih memisahkan pengetahuan hanya mengikut kemahuan dan selera kelompok tertentu.
    Dunia ari ni memerlukan urus tadbir ilmu dan pengetahuan (knowledge management) yg diversified dlm membentuk proses pembangunan nilai kemanusiaan serta peradaban dlm perkongsian yg lebih telus.

    Para pentadbir akademik dan sosial harus berupaya menerapkan disiplin pengetahuan agar ia dapat memberi cahaya yg bukan dlm satu kelompok malah perlu menerangi keseluruhan ruang serta boleh berfungsi dengan berkesan.

    Pertemuan sains secara empirikal dengan disiplin seni bukan lah sesuatu yg baru. Malah ia telah di bangunkan oleh sarjana dahulu sebagai suatu revolusi pemikiran dan penciptaan yg telah mengubah cara pandang manusia... Dan sehingga kini telah mencetuskan revolusi AI... Di mana gabungan keseluruhan pengetahuan telah di kumpulkan sebagai satu informasi tanpa sekatan dan datang dari pelbagai arah dan sumber... Oleh itu kita jgn lah terlalu pasif dan ego dgn bidang yg kita anuti sehingga menyekat pertumbuhan akal dan terus tenggelam atas kepercayaan yg terhad dan kaku.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

EMPAT - PRINSIP PETER: SARJANA PRODUKTIF TIDAK SEMESTINYA AKAN MENJADI PEMIMPIN UNIVERSITI YANG BAIK

R udy adalah seorang tukang kasut yang pandai. Kasut buatannya menjadi idaman orang ramai. Cara jahitannya, cara potongannya, menghasilkan kasut yang mahal harganya kerana digemari orang seluruh negeri. Kepandaiannya telah sampai ke telinga Anuar, seorang ahli perniagaan yang berhasrat  memperolehi keuntungan dari kemahiran Rudy. Dia berhasrat melaburkan wang untuk membina sebuah bengkel berkelengkapan moden untuk Rudy. Dengan cara ini akan lebih banyak kasut jenama Rudy dapat dijual. Kalau Rudy biasanya membuat sepuluh pasang kasut sebulan, dengan mesin di bengkel yang akan dibina, maka beratus-ratus pasang kasut Rudy akan dapat dibuat sebulan. Kalau keuntungan dibahagi dua dengan Rudy pun, Anuar mencongak, Rudy masih akan mendapat pendapatan berkali ganda. Manakala Anuar sendiri akan memperoleh keuntungan dari pelaburannya. Setelah bengkel dibina, Rudy diberi tugas sebagai ketua pengeluaran yang akan mengawal kualiti dan melonjakkan kuantiti pengeluaran kasut bengkel itu. Dia tid...

SEPULUH- KISAH HAMBA DAN RANTAI KAKI: KERENAH BIROKRASI PENGURUSAN DAN MEKANISME PENGAJARAN DI UNIVERSITI

Alkisah di zaman dahulu, ada seorang hamba yang dipaksa bekerja di sebuah lombong permata. Sepanjang hidupnya dilombong itu, kakinya sentiasa dirantai dengan rantai besi yang berat untuk menghalangnya dari melarikan diri. Suatu hari dia dibebaskan sebagai seorang yang merdeka. Ketika dia keluar dari lombong tersebut, tiada siapa yang terfikir untuk membukakan rantai kakinya. Ketika dia berjalan menuju ke kampungnya, dia mengeluh kerana langkahnya sangat perlahan. Dalam perjalanan dia terserempak dengan seorang lelaki yang hairan dengan keadaannya. Lalu lelaki itu bertanya: "Tuan dari mana dan hendak kemana?" "Saya baharu dibebaskan dari perhambaan dilombong di sana, dan sekarang saya sangat teruja untuk bertemu keluarga saya dikampung" "Tahniah saya ucapkan, tetapi mengapa tuan kelihatan sedih?" "Saya merasa sangat letih berjalan dan langkah saya pun agak perlahan dek kerana rantai di kaki saya ini. Saya terfikir apakah yang boleh saya lakukan dengan ...

DUA BELAS: MENEBANG POKOK ATAU MENEBAS SEMAK: ANTARA BUKU DAN KERTAS ILMIAH

Seorang tuan tanah berhasrat membersihkan tanah terbiarnya yang penuh hutan dan belukar untuk membina rumah di situ. Dia pun mengupah seorang kontraktor. Sebagai imbuhan, dia menjanjikan upahan berdasarkan berat daun dan kayu yang dibuang. Setelah sebulan, dia membayar upahan menurut janjinya. Namun apabila dia pergi melihat tanahnya, walaupun banyak belukar yang telah dibersihkan, masih terdapat pokok-pokok besar ditanahnya. Beberapa lama berlalu, dia memanggil semula kontraktor itu untuk membersihkan lagi tanahnya. Kontraktor itu sekali lagi membawa banyak sisa daun dan belukar yang telah dipotong, dan dibayar seperti biasa, menurut berat sisa yang dipotongnya.  Namun tuan tanah sekali lagi kecewa melihat tanahnya yang walaupun bersih dari belukar dan semak, namun masih banyak pokok besar yang tidak diusik. Rupanya si kontraktor itu hanya membersihkan belukar dan semak yang tumbuh semula selepas dia menebasnya kali pertama.  Tuan tanah yang tidak berpuas hati meminta kontrak...

Kesan Budaya Penyelidikan Universiti Masakini Terhadap Kreativiti, Inovasi dan Kualiti Akademik

1. Pengenalan Dalam dua dekad terakhir, budaya penyelidikan global telah berubah dengan ketara akibat tekanan metrik yang melampau seperti publish or perish , faktor impak, penarafan universiti dan penilaian berasaskan kuantiti penerbitan. Walaupun pendekatan ini sering digambarkan sebagai kemajuan ke arah ketelitian saintifik, perubahan ini sebenarnya mencerminkan pengaruh semakin kuat daripada positivisme dan reduksionisme. Positivisme, yang cenderung menganggap pengetahuan hanya sah apabila ia dapat diukur dan dibuktikan secara empirikal, dan reduksionisme, yang memecahkan fenomena kompleks kepada unit-unit kecil yang terasing daripada konteksnya, telah membentuk bukan sahaja cara penyelidikan dijalankan, tetapi juga menentukan siapa yang mampu bertahan dalam dunia akademik (Broadbent, 2002). Esei ini berhujah bahawa budaya penyelidikan yang sangat positivistik dan reduksionis mewujudkan ekosistem akademik yang kurang mendorong kreativiti, rendah keupayaan inovasi dan lebih mengutam...