Apabila manusia dijanjikan ganjaran duniawi untuk sesuatu perkara yang penting, maka matlamat sebenar sesuatu usaha akan terpinggir, sebaliknya yang menjadi matlamat baharu ialah ganjaran yang dijanjikan. Kalau matlamat asal menangkap ular tedung di dalam cerita ini ialah untuk menjamin keselamatan penduduk kampung, namun setelah dijanjikan ganjaran, sifat tamak manusia akan menjadikan ganjaran itu pula sebagai matlamat.
Apa yang berlaku diuniversiti hari ini, tidak jauh bezanya dengan cerita di atas. Universiti diwujudkan atas matlamat untuk mensejahterakan negara dan masyarakat. Mereka yang berfikiran jauh, bertanggungjawab, bijak dan bersemangat akan secara semulajadi berkumpul di universiti dan mencurahkan bakti bagi mencapai matlamat tersebut.
Namun oleh kerana fenomena yang diceritakan di dalam Kisah Tiga, universiti hari ini dipenuhi dengan mereka yang berfikiran terhad, berwawasan terowong sempit, tidak berpandangan jauh, dan hanya pakar dalam bidang yang terkhas. Dalam keadaan begini, sukar untuk mencari bijak pandai sebenar yang bersemangat dan mampu melihat keadaan masyarakat, dan mengembeling akal dan tenaga untuk kesejahteraan yang diharapkan. Tidak ramai yang bersemangat untuk menyelesaikan masalah masyarakat di dunia nyata. Dalam keadaan begini, pentadbir mula menawarkan ganjaran untuk mereka yang melaksanakan kerja yang perlu untuk kesejahteraan masyarakat. Maka terjadilah fenomena seperti kisah tedung di atas. Kalau asalnya penerokaan ilmu atau apa saja tugas ilmuwan dibuat atas dasar maslahat umat, kini ia dilakukan kerana ganjaran kenaikan pangkat dan gaji, sebagaimana amalan biasa dalam kerjaya.
Persamaan kisah ini dengan cerita di atas adalah lebih jauh lagi. Secara hakikatnya, untuk memahami masalah masyarakat, ilmuwan perlu pergi dan bergaul dengan masyarakat untuk memahami masalah sebenar, ibarat pergi ke sarang tedung liar untuk menangkapnya. Tetapi oleh kerana ini agak remeh dan sukar, maka lebih mudah bagi ilmuwan 'menternak' masalah di universiti sendiri untuk mencipta penyelesaian yang akan diberi ganjaran juga. Seumpama kisah tedung tadi, ini lebih mudah dari pergi ke hutan mencari sarang tedung. Maka ramailah sarjana yang duduk dengan hanya membaca kajian literatur dalam bilik dan makmal terkunci, atau membayangkan masalah mengikut khayalan masing-masing, lalu menghasilkan penerbitan yang akhirnya akan diganjari dengan kenaikan pangkat atau gaji. Ada sarjana yang menulis hal yang sangat abstrak, bahkan tidak ada kena mengena dengan masyarakat setempat, tetap diberikan imbuhan lumayan kerana menghasilkan penerbitan yang kononnya bukti usaha mensejahterakan masyarakat.
Tisak salah seandainya sesuatu kerja yang baik diberi imbuhan. Ini lumrah manusia. tetapi ada sesetengah pekerjaan yang apabila matlamatnya lari atau terkalih, ia tidak akan menjadi pekerjaan yang sempurna. Umpama solat. Mungkin segala rukun fizikal boleh dipenuhi dengan kemas, tetapi seandainya tidak ada niat, ataupun niatnya tidak betul, ia bukanlah solat yang boleh diterima. Bukan seperti kerja jasmaniah seperti memikul guni beras, niat murni atau tidak, asalkan cukup bilangan guni beras yang diangkut ketempatnya, ia boleh diterima sebagai pekerjaan yang sempurna dan layak diberi ganjaran. Sebaliknya penerokaan ilmu, memerlukan keikhlasan. Ini kerana hasil ilmu tidak boleh dilihat secara mata kasar. Ia tidak boleh dikira dengan berapa jam mengajar, atau berapa banyak penulisan. Manfaatnya mungkin tidak serta merta. Ini berbeza dengan pekerjaan seorang doktor atau tentera misalnya. Kepakaran seorang doktor boleh diukur dengan bilangan pesakit yang sembuh. Seorang askar dalam peperangan, boleh dilihat kecemerlangannya dengan berapa banyak musuh yang ditewaskannya. Tetapi seorang sarjana, nilai ilmunya tidak dilihat di mata kasar, dan tidak dapat dikesan melainkan setelah bertahun kemudian. Oleh itu, yang penting adalah keikhlasan, kesungguhan dan kejujurannya dalam mensejahterakan masyarakat.
Persoalannya bagaimana memastikan keikhlasan? Mungkin salah satu caranya ialah mengelakkan fenomena kisah tedung tadi. Mungkin, perlu kita menghapuskan ganjaran dan imbuhan yang tak perlu. Kerja menulis, menyelidik, menerbitkan, itu adalah kerja hakiki seorang ilmuwan. Kenapa harus diberi imbuhan untuk sesuatu yang menjadi tanggungjawabnya? Hari ini, demi untuk memperbanyakkan penerbitan contohnya, pensyarah diberi imbuhan tambahan diatas gajinya kiranya dia menerbitkan penerbitan dalam jurnal yang tertentu. Bukankah itu tanggungjawab?
Begitu juga dengan kenaikan jawatan. Sekiranya dia memenuhi kuantiti yang dikehendaki universiti, maka dia boleh naik pangkat, tidak kiralah penulisannya itu relevan atau tidak, penting atau tidak. Asalkan ia memenuhi metrik 'kecekapan' rekaan kapitalis, ia layak mendapat ganjaran atau kenaikan pangkat tersebut. Hari ini oleh kerana metrik ciri kenaikan pangkat yang sebegini, ia boleh dijadikan permainan dan perlumbaan yang boleh dicatur tanpa perlu benar-benar mempunyai makna. Penilaian kenaikan jawatan ke tahap professor sepatutnya bukan dalam kawalan calon tersebut. Ia sepatutnya di nilai secara bebas oleh masyarakat. Sebaliknya dengan bersandarkan metrik dan angka, calon boleh mengumpul mata untuk kenaikan pangkat. Seandainya angkanya cukup, maka dia terpaksa diberikan pangkat walaupun padahal secara peribadi dia seorang yang tidak jujur, tamak ataupun pentingkan diri.
Persoalan seterusnya apa akan jadi sekiranya tanpa ganjaran dan tawaran kenaikan pangkat, ilmuan tidak menerbitkan atau menyelidik? Bukankah nanti tidak ada penerbitan eksklusif, atau inovasi terpaten yang menjadi bukti untuk menaikkan ranking universiti? Itu lebih baik daripada dia menerbitkan atas matlamat yang salah. Hari ini mungkin ratusan juta ringgit telah dihabiskan untuk penyelidikan, penghasilan harta intelek dan penerbitan. Tapi setakat manakah penulisan ini berguna untuk masyarakat? Ia hanya ditulis di dalam jurnal2 eksklusif yang tidak siapa dapat membacanya melainkan pakar dari bidang yang sama. Jadi tidak ada penterjemahan ke dalam amalan masyarakat. Inovasi dari harta intelek menunjukkan hakikat yang sama. Setelah berdekad lonjakan R&D negara, berapa banyak Inovasi yang berada di pasaran? Kalau adapun beberapa inovasi yang tidak setimpal dengan pelaburan minda dan wang yang diberi. Ini antara tanda-tanda bahawa tiada usaha yang ikhlas dalam menghasilkan pencapaian yang bermanfaat untuk masyarakat. Yang pasti, wang rakyat ratusan bahkan ribuan juta ringgit telah habis demi kelansungan kerjaya sarjana tamak sebegini.
Kesimpulannya, permainan ganjaran menangkap tedung kini telah lama berleluasa dalam universiti. ia menyebabkan mereka yang tidak sesuai moralnya atau cetek akalnya, boleh masuk dan bergelar sarjana di dalam universiti. Fokus kepada ganjaran adalah lumrah manusia, namun bagi sebuah insititusi ilmu, ia harus dibatasi dengan pertimbangan yang lebih ketat dan bijaksana. Penggunaan penilaian kuantitatif atas metrik atau kriteria khusus dan terhad menyebabkan ia boleh menjadi 'permainan' yang boleh dikuasai oleh orang yang licik.

Imbuhan ni tak perlu dikejar. Ia cuma bonus. Dlm islam ada 2 imbuhan.... Imbuhan dunia dan akhirat... Imbuhan dunia dpt duit dan pangkat... Imbuhan akhirat dapat syurga. Kerja untuk imbuhan dunia tak kekal... Cepat habis. Kalau imbuhan dunia yg dicari... Maka bnyk orang dengki dan timbul bnyk fitnah... Lebih teruk lagi cepat sakit. Berbeza dgn imbuhan akhirat... Kekal selamanya... Seronok dan tak sakit2.
BalasPadamNamun org kita suka cari penyakit. Suka pada benda yg tak kekal. Dan bila dapat sakit baru menyesal dan insaf bahwa imbuhan yg kita dapat adalah ilusi yang menjahanamkan diri sendiri. Kita berlumba-lumba untuk dapat ganjaran dan imbuhan. Maka proses perlumbaan ini membuatkan org tamak dan tak cukup puas... Padahal gaji yang sedia ada sudah cukup menjamin kesejahteraan hidup. Lantas dgn apa yg kita telah usahakan... Dan jika usaha yg kita kerjakan itu ikhlas sudah tentu ganjaran akhirat lebih besar nikmatnya dan kekal abadi... Kita suka mencari usaha yg sedikit dan tak tahan lama... Berebut2 dan sanggup berbunuhan dan tipu menipu.. Asalkan dapat imbuhan.
Universiti sudah tiba masanya merubah polisi konsep imbuhan dgn semangat keikhlasan serta perlu ditanam semangat pahala atas tanggung jawab yg diamanahkan .. Mereka perlu faham bahwa konsep amanah dan tanggungjawab adalah fardu kifayah... Universiti tak perlu fikir lagi macam kanak2... Dimana kalau seorang anak dapat berpuasa penuh maka akan di beri ganjaran 10 ringgit. Sehingga budak tersebut terpaksa menahan lapar dan berbuih mulut utk dapat wang tersebut... Ini satu penyiksaan... Walaupun kita kata sebagai motivasi
Dr cerita tangkap ular... Tugas utama utk menjaga keselamatan. Supaya ular tidak membiak dan mematuk manusia.. Tapi apabila diberi ganjaran. Manusia rela mati kena patuk dan membelanya atas imbuhan dan seterusnya makin menyusahkan diri sendiri dan orang lain.
Akhir kata konsep imbuhan ni eloklah diberi tanpa orang itu sedar dia adalah terbaik dan semua yakin dan mmng dia berhak untuk mendapat imbuhan atau anugerah tersebut... Tak perlu nak isi borang utk dapat imbuhan.