Langkau ke kandungan utama

TIGA --GEJALA PEMIKIRAN SILO: KEBANJIRAN PEMIKIR CETEK MENJADI ILMUWAN UNIVERSITI

Sumber foto: Chatbot AI

Seorang pemuda terlihat suatu iklan jawatan kosong yang memerlukan seorang adiguru kayu yang hebat bagi sebuah kilang yang menghasilkan perabut kayu. Gajinya agak Lumayan. Walaupun terdesak, dia terpaksa melepaskan peluang tersebut kerana dia sebenarnya tidak punya sebarang kemahiran bertukang kayu.

Dia terus berjalan lalu terjumpa pula suatu iklan yang memerlukan seorang penggergaji kayu bagi sebuah kilang. Lalu dia berfikir, tidaklah sesusah mana kalau setakat menggergaji kayu. Kalau tidak biasapun, dia boleh jadi pandai kalau setiap hari buat perkara yang sama. Maka dia pun masuk memohon jawatan tersebut. Maka diterimalah dia sebagai seorang tukang gergaji kayu di kilang tersebut. Rupanya ia adalah kilang yang sama yang memerlukan seorang adiguru kayu tadi.

Tidak lama kemudian ada seorang lain yang turut masuk bekerja di kilang tersebut. Rupanya dia mengisi jawatan sebagai tukang rawat kayu. Keesokannya seorang lagi menyertai kilang tersebut. Bila ditanya, rupanya dia memegang jawatan sebagai pemandu untuk membawa kayu mentah. 

Hari demi hari berlalu, kilang itu semakin ramai pekerja, tukang paku, tukang ketam, tukang jaga stor dan beberapa orang lagi. Pendek kata, kesemua bahagian yang perlu untuk menghasilkan perabut yang hebat telah tersedia. Cuma ada satu jawatan yang masih kosong, iaitu sebagai adiguru kayu yang mampu mencipta perabut yang indah dengan mencantumkan semua bahagian kecil dan terpisah ini. Akhirnya tidak ada seorang pun yang benar-benar pandai membuat perabut, namun ia tetap dipenuhi oleh pekerja, yang kerja masing-masing hanya terkhusus kepada aspek kecil dalam pembinaan perabut. Akhirnya kilang itu sebenarnya tidak memberi manfaat kepada pemiliknya kerana tiada perabut yang dapat dihasilkan.

Sebenarnya cerita ini adalah analogi situasi universiti negara pada masa kini. Universiti memerlukan 'Ilmuwan bijaksana' yang dapat berfikir menjangkaui norma semasa, melihat gambaran besar, melangkaui bidang sendiri, menjangka masa depan, agar dapat memandu dan memacu negara kearah kesejahteraan. Ciri-ciri ilmuwan bijaksana adalah sangat tinggi kehendaknya. Umpama sang adiguru kayu tadi, dia perlu bijak menghasilkan gaya dan bentuk yang cantik, kaedah pemasangan yang kukuh, perlu faham jenis kayu, jenis sambungan dan berbagai lagi. Sama juga, ilmuwan bijaksana perlu mengetahui banyak perkara di dalam banyak bidang. Dia perlu mempunyai gambaran besar tentang tamadun. Dia perlu peka terhadap situasi semasa. Punya empati terhadap masyarakat. Punya semangat untuk mengubah keadaan. Punya keberanian untuk bersuara. Perlu kreatif dan berfikir diluar kotak. Dengan kata lain, pengetahuannya adalah di tahap kebijaksanaan dan bukan setakat tahu satu dua perkara. Namun di hari ini, yang bergelar ilmuwan bijaksana hampir tidak ada. Namun siapakah mereka yang mengisi universiti sekarang?

Mereka adalah pemikir sederhana yang cuma mahir dalam aspek khusus dalam pembinaan tamadun. Masing-masing hanya mahir dan tertumpu kepada aspek kecil yang walaupun penting, tapi tidak dapat memberi nilai dan manfaat. Di universiti, ada yang pandai di bidang matematik, ada pakar elektronik, ada yang arif tentang vaksin, ada yang hanya tahu tentang perakaunan, atau hanya tahu tentang binaan dan kekukuhan rangka. Tetapi oleh kerana fokus masing masing hanya kepada perkara kecil, maka tidak ada yang pengetahuannya sampai ke darjat 'ilmuwan bijaksana'. Akhirnya Universiti menjadi menara gading, dengan erti kata, ia adalah binaan yang indah tetapi tiada nilai bagi masyarakat. Memang setiap bahagian adalah bernilai, namun nilainya adalah dalam bentuk yang terpisah dan berderai dan tiada ilmuwan bijaksana yang mampu mencantumkannya menjadi penawar kepada masalah masyarakat.

Namun dalam suasana pendidikan dan masyarakat hari ini yang dibelenggu oleh pemikiran dalam kotak (silo thinking), maka sukar untuk mencari pemikir ulung, kreatif dan berani yang sangat diperlukan di universiti. Dalam ketandusan begini, akhirnya keperluan kesarjanaan perlu diturunkan agar orang yang sederhana pemikirannya boleh diterima. Ini kembali kepada kecenderungan reduksionisme. Lalu ciri keperluan ilmuwan dipecahkan kepada sasaran kecil yang mudah bagi orang biasa mencapainya. Apabila nilai universiti dipecahkan kepada bidang2 kecil yang terpisah, maka lebih ramai yang layak, kerana ia memerlukan pemikiran sederhana yang menumpukan kepada kemahiran sempit. Dalam keadaan begini, ramailah yang layak menjadi 'ilmuwan'. Kerana nilai sebenar kesarjanaan telah dipecahkan dan disempitkan hanya kepada perkara kecil yang boleh dikejar sekiranya bersungguh. Bukan sahaja bidang telah dikotakkan menjadi pecahan kecil, malah sasaran nilainya juga di turunkan kepada hanya perkara kuantitatif seperti menyasarkan bilangan penulisan , atau mengumpul dana untuk penyelidikan, mengira berapa paten dihasilkan dan berbagai perkara khusus namun perkara yang senang dimahirkan.

Suatu lagi krisis yang merupakan kesan dari pengagungan pemikiran kecil ialah semakin hilangnya polymath, iaitu golongan bijaksana yang mahir berbagai bidang*. Sarjana lampau, tidak mengikat diri mereka kepada sesuatu disiplin ilmu tertentu, tapi menguasai banyak bidang ilmu. Lihat sahaja sejarah cendekiawan silam. Kalau sarjana Islam, mereka akan menguasai beberapa asas ilmu islam sebelum menceburi pemikiran sains, perubatan, astronomi dan lain lain lagi.

Dikalangan sarjana silam dari barat pula, Da Vinci ialah seorang pelukis, arkitek, ahli matematik, jurutera, pemuzik, dan penulis. Newton ialah seorang ahli fizik, ahli falsafah, dan ahli astronomi. Aristotle menyumbang kepada etika, biologi, fizik, dan metafizik. Goethe ialah seorang penyair dan penulis drama yang membuat penemuan dalam botani, geologi dan optik.

Mengapa hari ini kita kepupusan polymath?** Jawapannya kembali kepada penjulangan reduksionisme keatas kepakaran bidang kecil yang mendalam. Di universiti hari ini, untuk mendapat kegemilangan kesarjanaan, seseorang harus perlu menyempitkan sorotan ilmu kepada aspek yang paling kecil bidang tersebut. Bahkan sekiranya ilmuan hari ini cuba meneroka bidang yang diluar kepakarannya, dia akan dianggap tidak produktif. Penulis sendiri pernah diheret ke hadapan pengurusan dan dituduh menulis diluar bidang tesis PhDnya. Sandainya seorang pensyarah hari ini menulis buku tentang hal yang bukan bidangnya, dia di anggap membuat pekerjaan sia sia dan sumbangan bukunya itu tidak akan diberi sebarang markah atau pengiktirafan.

Hari ini, kebanyakan universiti moden mengalami krisis kesarjanaan yang sebenar. Walaupun banyak perkara terkhusus dan sasaran kuantitatif dicapai, hakikatnya sumbangan dan nilai sebenar ilmu tidak dapat membantu masyarakat menghadapi cabaran kemelut dunia yang semakin parah. Inilah penyakit pemikiran moden yang telah dicanai oleh falsafah-falsafah sempit yang mengakibatkan universiti kini dipenuhi oleh ramai orang 'pandai' tetapi mempunyai tahap pemikiran yang cetek.

Kita perlu melihat masalah ini dari akar umbinya. Dari falsafah dan perlaksanaan serta pengurusan ilmu. Apakah yang menyebabkan pemikiran dalam kotak, pemikiran terpisah, kepakaran terkhusus menjadi kegemaran masyarakat? Kerana ia mudah? menjanjikan ganjaran jawatan profesor dan sarjana tanpa perlu menjadi seorang yang bijaksana?

Sekiranya perkara ini tidak diambil peduli, kita akan mendapati unviersiti negara akan dibanjiri ramai orang yang tahap pemikirannya cetek tetapi mendapat pangkat berstatus professor, sarjana, dan tugasnya hanya meningkatkan ranking universiti. Namun hakikatnya prestasi ranking hanyalah sekadar menjadi hiasan yang mahal. Dalam erti komodifikasi ilmu dan realisme kapitalis, hal ini semata-mata menjadi gimik dan teknik pemasaran untuk meraih pelajar luar negara membawa wang ke dalam negara. Adakah nilai universiti telah turun serendah ini? Setakat menjadi intitusi hiasan penarik wang?

Krisis kesarjanaan adalah susah untuk disedari namun ia lebih parah. Ia susah disedari kerana universiti sendiri sering menggambarkan kecemerlangan dengan pencapaian kuantitatif yang senang diraih melalui strategi permainan angka. Kalau rasuah menghancurkan negara, namun pelakunya boleh dikenalpasti dan dihukum. Krisis kesarjanaan lebih besar lagi namun ia sukar disedari kerana bencananya akan terjadi pada masa hadapan. Bahkan pelakunya tidak dihukum, sebaliknya diberi jawatan dan kemewahan, dan di martabatkan sebagai 'bijak pandai'. Andai hal ini tidak dapat disedari hari ini, adalah sukar nanti untuk kita kembali ke masa lampau untuk membetulkannya.

Fikir Lestari

Mac 2025

Nota kaki

* Polymath bermaksud "orang yang mempunyai pelbagai pembelajaran", berasal daripada polymathes Yunani; poli (banyak) dan perkataan akar manthanein (untuk belajar)
** Antara artikel yang menyuarakan kegusaran tentang kehilangan Polymath ialah tulisan TImothy Sandefur, https://www.discoursemagazine.com/p/what-happened-to-the-polymaths


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Universiti kini dipenuhi Pensyarah, Namun Ketandusan Sarjana.

Oleh Fikir Lestari  ( berbantu AI ) Sekali imbas, istilah pensyarah universiti dan sarjana kelihatan seolah-olah merujuk kepada golongan yang sama. Namun, kedua-duanya sebenarnya merujuk kepada orientasi yang sangat berbeza terhadap ilmu, autoriti, dan tujuan intelektual. Seorang pensyarah universiti pada asasnya ialah satu peranan dalam sesebuah institusi . Identitinya ditentukan oleh pelantikan, beban tugas, dan akauntabiliti pentadbiran. Jam pengajaran, hasil pembelajaran, rubrik penilaian, petunjuk prestasi utama, serta pematuhan kepada kerangka institusi membentuk kehidupan intelektual harian seorang pensyarah. Ilmu, dalam konteks ini, difahami sebagai sesuatu yang perlu disampaikan, distrukturkan, dan diukur . Autoriti pensyarah tidak banyak bergantung pada kedalaman kefahaman, tetapi pada kelayakan formal, pemilikan silibus, dan keselarasan dengan kurikulum yang diluluskan. Malah penyelidikan pun semakin bersifat instrumental, dinilai melalui bilangan penerbitan, indeks s...

EMPAT - PRINSIP PETER: SARJANA PRODUKTIF TIDAK SEMESTINYA AKAN MENJADI PEMIMPIN UNIVERSITI YANG BAIK

R udy adalah seorang tukang kasut yang pandai. Kasut buatannya menjadi idaman orang ramai. Cara jahitannya, cara potongannya, menghasilkan kasut yang mahal harganya kerana digemari orang seluruh negeri. Kepandaiannya telah sampai ke telinga Anuar, seorang ahli perniagaan yang berhasrat  memperolehi keuntungan dari kemahiran Rudy. Dia berhasrat melaburkan wang untuk membina sebuah bengkel berkelengkapan moden untuk Rudy. Dengan cara ini akan lebih banyak kasut jenama Rudy dapat dijual. Kalau Rudy biasanya membuat sepuluh pasang kasut sebulan, dengan mesin di bengkel yang akan dibina, maka beratus-ratus pasang kasut Rudy akan dapat dibuat sebulan. Kalau keuntungan dibahagi dua dengan Rudy pun, Anuar mencongak, Rudy masih akan mendapat pendapatan berkali ganda. Manakala Anuar sendiri akan memperoleh keuntungan dari pelaburannya. Setelah bengkel dibina, Rudy diberi tugas sebagai ketua pengeluaran yang akan mengawal kualiti dan melonjakkan kuantiti pengeluaran kasut bengkel itu. Dia tid...

Kesan Budaya Penyelidikan Universiti Masakini Terhadap Kreativiti, Inovasi dan Kualiti Akademik

1. Pengenalan Dalam dua dekad terakhir, budaya penyelidikan global telah berubah dengan ketara akibat tekanan metrik yang melampau seperti publish or perish , faktor impak, penarafan universiti dan penilaian berasaskan kuantiti penerbitan. Walaupun pendekatan ini sering digambarkan sebagai kemajuan ke arah ketelitian saintifik, perubahan ini sebenarnya mencerminkan pengaruh semakin kuat daripada positivisme dan reduksionisme. Positivisme, yang cenderung menganggap pengetahuan hanya sah apabila ia dapat diukur dan dibuktikan secara empirikal, dan reduksionisme, yang memecahkan fenomena kompleks kepada unit-unit kecil yang terasing daripada konteksnya, telah membentuk bukan sahaja cara penyelidikan dijalankan, tetapi juga menentukan siapa yang mampu bertahan dalam dunia akademik (Broadbent, 2002). Esei ini berhujah bahawa budaya penyelidikan yang sangat positivistik dan reduksionis mewujudkan ekosistem akademik yang kurang mendorong kreativiti, rendah keupayaan inovasi dan lebih mengutam...

Siapa yang Membaca Kertas Akademik di Wall Street?

 Oleh Fikir Lestari. Dalam satu temu bual YouTube di saluran Jonathan B., Jim O’Shaughnessy (4th January) ditanya tentang hubungan antara berfikir dan bertindak—tentang sama ada kerja intelektual masih mempunyai makna dalam dunia yang digerakkan oleh pelaksanaan, kelajuan, dan pasaran. Pada satu ketika, hampir secara bersahaja, beliau melontarkan satu soalan yang amat menusuk: “Siapa yang membaca kertas akademik di Wall Street?” Ungkapan ini tidak hadir sebagai provokasi kosong, tetapi sebagai satu diagnosis. Ia merangkumkan, dalam satu ayat, jurang yang semakin melebar antara penyelidikan akademik dan dunia nyata yang suatu ketika dahulu cuba difahaminya. Universiti tidak sentiasa menjadi institusi yang terpisah. Dalam sejarah, kesarjanaan lahir daripada masalah kehidupan sebenar—perdagangan, perubatan, undang-undang, tadbir urus, seni bina, dan pertanian. Ilmu berkembang secara perlahan, namun bersifat telap. Idea meresap ke dalam amalan, dan amalan pula membentuk semula teori. S...

TIGABELAS: RESIPI LAPUK, RESTORAN MEWAH, DAN KETANDUSAN RASA DALAM UNIVERSITI

  Oleh Fikir Lestari Faiz diterima bekerja sebagai pembantu chef di sebuah restoran yang terkenal. Nama restoran itu besar, dapurnya tersusun rapi, dan setiap hidangan keluar mengikut piawaian yang telah diuji berpuluh kali. Di dinding dapur tergantung buku resipi tebal—lengkap dengan sukatan, masa, dan langkah yang tidak boleh disimpang. Tugas Faiz mudah: ikut resipi, jangan bertanya terlalu banyak, dan pastikan setiap pinggan rasa sama seperti semalam. Pada awalnya, Faiz cemerlang. Masakannya kemas, konsisten, dan pelanggan jarang merungut. Pengurusan gembira. Statistik jualan stabil. Dari sudut prestasi, Faiz ialah tukang masak yang baik. Tetapi perlahan-lahan, satu kegelisahan muncul. Faiz sedar bahawa dia boleh memasak makanan yang baik, tetapi dia belum tentu menjadi seorang tukang masak yang baik. Dia tahu resipi, tetapi tidak tahu kenapa resipi itu wujud begitu. Dia tahu sukatan, tetapi tidak memahami bahan. Dia tahu masa, tetapi tidak peka terhadap perubahan cuaca, kesegar...