Langkau ke kandungan utama

EMPAT - PRINSIP PETER: SARJANA PRODUKTIF TIDAK SEMESTINYA AKAN MENJADI PEMIMPIN UNIVERSITI YANG BAIK

Rudy adalah seorang tukang kasut yang pandai. Kasut buatannya menjadi idaman orang ramai. Cara jahitannya, cara potongannya, menghasilkan kasut yang mahal harganya kerana digemari orang seluruh negeri. Kepandaiannya telah sampai ke telinga Anuar, seorang ahli perniagaan yang berhasrat  memperolehi keuntungan dari kemahiran Rudy. Dia berhasrat melaburkan wang untuk membina sebuah bengkel berkelengkapan moden untuk Rudy. Dengan cara ini akan lebih banyak kasut jenama Rudy dapat dijual. Kalau Rudy biasanya membuat sepuluh pasang kasut sebulan, dengan mesin di bengkel yang akan dibina, maka beratus-ratus pasang kasut Rudy akan dapat dibuat sebulan. Kalau keuntungan dibahagi dua dengan Rudy pun, Anuar mencongak, Rudy masih akan mendapat pendapatan berkali ganda. Manakala Anuar sendiri akan memperoleh keuntungan dari pelaburannya.

Setelah bengkel dibina, Rudy diberi tugas sebagai ketua pengeluaran yang akan mengawal kualiti dan melonjakkan kuantiti pengeluaran kasut bengkel itu. Dia tidak lagi bekerja sebagai pembuat kasut, namun diberi tugas menyelia mesin dan mengarahkan pekerja bengkel agar dapat menghasilkan kasut jenamanya dengan lebih banyak dan lebih cepat.

Namun setelah beberapa tahun bengkel beroperasi, kasut-kasut keluaran bengkel itu tidak mendapat jualan yang diharapkan. Kualitinya menurun. Ia tidak lagi menjadi idaman orang ramai seperti sewaktu Rudy sendiri yang menjahit kasut kasutnya. Oleh kerana jualan yang lemah, akhirnya bengkel ditutup.

Mengapa hal ini terjadi? Ini kerana Rudy sebenarnya canggung dalam menjadi penyelia bengkel. Kepakarannya adalah membuat kasut. Bukan menguruskan bengkel, menyelia pekerja atau menyelenggara mesin. Dia benar-benar hilang punca apabila tidak lagi diberi pisau memotong kulit atau jarum penjahit kasut. Dia tidak biasa bekerja dengan mulut mengarahkan orang lain, atau menggunakan kertas dan pen untuk menulis memo atau mengeluarkan pekeliling arahan tugas.

Kisah diatas terjadi hari ini, bukan di bengkel atau kilang, tapi di universiti. Di universiti, mereka yang produktif dalam mencapai KPI untuk kenaikan pangkat, akan sering disebut sebagai 'juara' (Champion) yang sering dijadikan tokoh teladan kepada yang lain. Maka seringlah terjadi, mereka yang banyak penerbitannya, banyak geran, banyak sitasi, dan lain lain kriteria yang disuruh pak menteri, akan dilantik menjadi pentadbir. Kononnya mereka ini mampu menguruskan rakan lain supaya menjadi produktif seperti mereka. Maka sering berlaku, seorang yang sudah bertahun terperuk dalam makmal tiba-tiba dilantik menjadi ketua, pentadbir, timbalan ketua, pengarah, pemimpin dan sebagainya. 

Apabila golongan seperti ini diberi kepercayaan untuk memimpin orang lain, tidaklah sukar untuk meramalkan, bahawa mereka akan mengandaikan orang lain akan dan mesti buat sebagaimana yang mereka buat dahulu. Cuma kali ini hanya mengarah orang lain membuat perkara yang sama. Namun oleh kerana menjadi ketua dan pengurus memerlukan kemahiran yang berbeza, maka banyak kejanggalan dan masalah yang timbul. Mereka bukanlah mahir mengurus manusia. Mereka ini apabila dilantik ke jawatan itu, sebenarnya disuruh membuat perkara yang diluar kemahiran mereka. Ini adalah contoh fenomena prinsip Peter. Iaitu suatu pemerhatian yang menyatakan; seseorang akan dinaikkan ke jawatan lebih tinggi sehingga ke tahap yang dia tidak lagi mahir untuknya*.

Bahkan masalah ini lebih teruk apabila yang menerima jawatan adalah ahli akademik yang terlihat produktif. Mereka produktif kerana fokus mereka disempitkan untuk sasaran tugas atau KPI masing-masing. Jadi apabila bertahun dalam kepompong ilmu dan fokus yang terhad, adalah sukar bagi mereka menilai situasi selain dari apa yang mereka faham. Ada yang menganggap bidang ilmu yang berlainan semuanya serupa dengan ilmu bidang mereka. Mereka anggap apa yang mereka suka orang lain juga suka. Definisi kecemerlangan bagi mereka hanyalah apa yang mereka perbuat selama ini. Seandainya kita menilai mereka yang berada di tampuk pentadbiran mahupun kepemimpinan universiti hari ini, akan terjumpa contoh pemimpin yang tidak sesuai berada ditempatnya. Ada antara mereka, untuk berkomunikasi dengan cara yang mudah difahami awam pun tidak tahu. Apatah lagi untuk berfikir diluar kotak. Namun disini terdapat perbezaan antara sarjana produktif dengan Rudy. Kalau Rudy merasa sedih kerana tidak lagi membuat apa yang dia mahir, sebaliknya sarjana produktif tadi merasa hebat diberi pengiktirafan sebagai ketua, dan terus selesa dengan jawatan yang baharu disandangnya.

Ada suatu perkara lain yang muncul dari fenomena ini. Seperti dikatakan tadi, prinsip Peter akan menyebabkan golongan champion atau juara diangkat naik ke jawatan lebih tinggi dalam organisasi. Akibatnya ada suatu kelompok yang sering menghasilkan juara diangkat menjadi pemimpin. Iaitu mereka yang datangnya dari bidang sains dan teknologi. Ini adalah kerana mereka tertumpu kepada fakta yang boleh diukur dengan mudah, maka penghasilan penerbitan dan kpi lain menjadi lebih cekap. Tidak seperti bidang ilmu yang bergelut dengan masalah sosial, nilai ataupun falsafah, yang lebih cenderung kepada pebahasan metafizik yang sukar diukur. Maka champion dari kelompok sains dan teknologilah yang biasanya diangkat kejawatan mentadbir dan memimpin. 

Apabila golongan pentadbir muncul dari bidang sains dan teknologi yang dianggap cekap 'membuat kasut', maka kesemua bidang lain di universiti ditadbir dengan kecenderungan  bidang sains dan teknologi. Maka merungutlah rakan sarjana dari bidang lain seperti bidang  falsafah, bidang seni, atau lain lain bidang sains kemanusiaan, kerana kini acuan keilmuan mereka disamakan dengan acuan ilmu di bidang sains dan kejuruteraan. Kalau dahulu ilmuwan seni meneroka jiwa masyarakat dengan lukisan, persembahan, irama dan bait-bait menyentuh jiwa kini tidak lagi. Kalau dahulu pemikir masyarakat bercakap mengenai nilai dan semangat kepada awam, kini mereka harus menterjemahkan pemikiran mereka kepada seakan ianya objek saintifik yang keras dan mati. Mereka diminta menulis dalam makalah bersifat sains, menggunakan kaedah dan bahasa sains. Maka padamlah sumber semangat dan inspirasi masyarakat.

Masalah ini, telah bertahun menjadi rungutan dan kerisauan di universiti seluruh dunia. Iaitu penghakisan kesarjanaan bidang kemanusiaan, sastera dan seni. Lalu apakah kita hairan kiranya hari ini kita dikelilingi mesin, teknologi dan robot? Manusia hilang pertimbangan tentang hal-hal nilai, perkara kerohanian dan hal batiniah. Soal-soal yang bersifat metafizik seperti keadilan, soal kezaliman dan soal moral, semakin huru hara. Namun persoalan penjajahan ilmu materiali keatas ilmu kemanusiaan merupakan suatu isu yang perlu dibahas di dalam artikel yang lain.

Mari kita berbalik pada prinsip Peter tadi. Apa yang terjadi? Apabila seluruh gerak kerja dan paradigma universiti dikongkong dengan bidang sains dan teknologi, maka jiwa ilmuwan dibidang yang lain yang rencam dan penuh warna kini menjadi muram. Mereka ditadbir oleh mereka yang tidak layak menjadi pemimpin namun diangkat kerana prinsip Peter.  Ramai yang pandai dan bijak tetapi tidak mengerti erti kebijaksanaan, hanya mengerti kepandaian sendiri. Mereka tidak mampu membakar semangat perjuangan kepada rakan seuniversiti, apatah lagi kepada masyarakat. Segala teguran dan nasihat tentang betapa mereka sebenarnya mematahkan semangat dan jiwa golongan yang ditadbir tidak dapat difahami oleh mereka, kerana sifat empati bukanlah kepakaran golongan sains dan teknologi. Mereka hanya tahu dan diberitahu bahawa pencapaian mereka adalah hebat, jadi orang lain semuanya perlu menjadi seperti mereka. Sering dirungutkan bahawa golongan sebegini kurang dari segi belas ihsan, tiada timbangrasa, kerana telah dilatih untuk memberi fokus sempit bidang mereka. Tiada kepekaan kerana bertahun hidup dalam kepompong ilmu sains dan teknologi yang dirasakan hebat.

Untuk mengatasi kemelut ini, perlulah pihak pengurusan universiti memikirkan kaedah dan cara yang lebih baik dalam memilih pengurus, pentadbir dan pemimpin universiti. Kalau dikilang, yang akan dilantik menjadi pengurus manusia ialah mereka yang pandai dalam mengurus manusia, bukan mereka yang paling cekap dalam production line. Seorang yang pandai menjahit baju dikilang baju tidak akan di lantik menjadi penyelia semata-mata kerana dia yang paling mahir menjahit. Sebaliknya di universiti, inilah yang terjadi. Mereka yang mahir membuat kerja penghasilan metrik pencapaian universiti, merekalah akan diangkat sebagai ketua, pentadbir dan pemimpin.

Kaedah pemilihan pemimpin universiti sekarang, iaitu memilih mereka yang champion membuat hal masing-masing, tidak lagi sesuai diamalkan. Biasanya mereka menjadi champion itu dengan bersebab. Iaitu mereka berfokus kepada sasaran kuantitatif, sehingga hal-hal lain menjadi terpinggir. Ini menyebabkan merekalah yang paling tidak sesuai dilantik ke jawatan pentadbiran. Oleh itu, kriteria yang lebih sesuai perlu difikirkan. Mungkin seorang yang bukan juara di dalam bidangnya tetapi mempunyai kaliber sebagai pemimpin, yang memahami berbagai bidang, mampu menjadi pembentuk visi dan wawasan, lebih sesuai dijadikan pentadbir. Mereka yang lebih berempati, pandai mendengar keluhan dengan belas ihsan, kreatif dalam mencari penyelesaian dari berbagai sudut ilmu dan kehidupan, lebih diperlukan di dalam universiti yang jiwanya semakin canggung menghadapi cabaran masyarakat. Ini biasanya tidak datang dari ilmuwan sains tulen yang meminggirkan aspek metafizik jiwa manusia.

Kecenderungan untuk melantik Rudy si pembuat kasut sebagai pemimpin perlulah dihentikan. Biarlah Rudy terus menghasilkan kasut. Menjadi pengurus atau penyelia bukanlah kemahirannya. Dalam mencari bakat kepimpinan universiti, yang perlu pilih ialah pemikir besar, pemberani, pencipta yang penuh semangat dan belas dan peka kepada situasi semasa alam dan masyarakat. Dengan cara ini, tidak ada lagi pemimpin kerdil dan janggal yang mentadbir universiti.

Fikir Lestari, Mac 2025.

*Prinsip Peter adalah konsep dalam teori pengurusan yang dirumuskan oleh Dr. Laurence J. Peter. Ia menyatakan bahawa dalam organisasi berhierarki, pekerja cenderung dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi mereka dalam peranan semasa, bukannya keupayaan mereka untuk melaksanakan peranan baru. Akibatnya, mereka akhirnya mencapai tahap ketidakcekapan, kerana setiap jawatan baru memerlukan kemahiran yang berbeza.

Prinsip ini diperkenalkan dalam buku "The Peter Principle: Why Things Always Go Wrong," yang diterbitkan pada tahun 1969 oleh Dr. Laurence J. Peter dan Raymond Hull. Buku ini menggunakan humor dan sindiran untuk meneroka bagaimana ketidakcekapan organisasi timbul daripada fenomena ini.


Ulasan

  1. Universiti perlu beralih dr cara fikir otak empirikal yg kolot kpd Deconstruction yg cair dlm pembinaan akal fikir Genesis. Berkembang dan responsif terhadap kemajuan alam dan budaya manusia... Kita perlu menghapuskan upacara tahunan mengisi tempat kosong dlm sistem data utk di nobat sempena upacara pesta tahunan kecemerlangan dan hari jadi universiti... Ketokohan keserjanaan akademik boleh di buat dgn upacara pengiktirafan ilmu sarjana dgn penampilan produk sarjana yg diiktiraf oleh masyarakat awam dan bukan secara undi senyap2 atas dasar kawan2 dgn strategi mengumpul jumlah dan bilangan ... Yg kononnya sebagai menghadapi pencapaian global challenge.

    Ketrampilan akademik bukan atas ukuran bnyk benda.. Tetapi atas pencapaian penerimaan masyarakat atas kapasiti penampilan idea yg boleh diguna pakai oleh budaya masyarakat nya sebagai suatu cult of reference umpama Mak jah dlm lenggok mak yong nya.

    Mak jah adalah ikon kpd global challenge di mana setiap rentak kakinya dan bahasa tubuh nya hanya ada satu saja dlm dunia.

    So far kita x ada lg tokoh sains dan tekno yg boleh menari bersama mek jah untuk di hadapkan kpd cabaran dunia kini sebagai satu ukuran fusion of techno human science utk berdiri separas rentaknya.. Malah tokoh dr human science menobatkan figura Syed naquib alatas sebagai idola sarjana dunia... Ni baru Le dikatakan to direct into global challenge.... Bukan sekadar slogan yang klise.

    Kita perlu melihat realiti... Setakat mana kemampuan kita dan harus sedar apa yg kita ada terutama dlm mengharungi dunia kepantasan maaf dan kemelut manusia hari ni... Kita x perlu berangan kpd benda2 yg ngarot dan dimana pd hakikatnya jauh ketinggalan dgn apa yg berlaku... Kita masih lg X mampu mencipta sebiji butang baju Melayu yg ada cahaya lampu apabila ia dipakai. Yg kita pandai meniru apa yg org lain buat.. Itu pun X berapa bagus. Lepas tu claimed... This is my research product dan registered for the IP. Serta bangga dgn dapatan geran berpuluh juta namun hakikatnya X ke mana... Tunggu masa utk buang ke longkang. Geran adalah semata utk menolong pensyarah bg mengisi data kpi supaya dpt naik pangkat... Proses perolehan geran itu sendiri bnyk penipuan dan pilih kasih....

    Oleh itu mentaliti tenaga akademik dilantik sebagai pegawai tadbir bukan ukuran kecemerlangan akademik utk mendapat professor... Ia perlu profess dgn ilmu serta kecemerlangan intelek nya dlm mengajar. Menulis dan daya inovasi nya Samada ia seorang mak jah atau Syed Naquib alatas.

    Bukan Le kecemerlangan universiti bergantung berapa bnyk data perlu diisi dlm sistem untk menghadapi global challenge... Dan perlu diingat para akademik bukan pegawai tadbir..... Kerja nya mengajar dan memberi ilmu... Utk mentadbir bg pd pegawai tadbir yg mana telah belajar Mcm mana urusan tadbir dan hubungan manusia.

    Oleh yg demikian maka agak rencahnya sistem keser janaan apabila pihak akademik mengatur manusia dgn cara akademik terutama apabila naluri manusia dikira dgn ukuran hisab dlm memenuhi upacara pesta tahunan kecermerlangan... Bertaraf global

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SEPULUH- KISAH HAMBA DAN RANTAI KAKI: KERENAH BIROKRASI PENGURUSAN DAN MEKANISME PENGAJARAN DI UNIVERSITI

Alkisah di zaman dahulu, ada seorang hamba yang dipaksa bekerja di sebuah lombong permata. Sepanjang hidupnya dilombong itu, kakinya sentiasa dirantai dengan rantai besi yang berat untuk menghalangnya dari melarikan diri. Suatu hari dia dibebaskan sebagai seorang yang merdeka. Ketika dia keluar dari lombong tersebut, tiada siapa yang terfikir untuk membukakan rantai kakinya. Ketika dia berjalan menuju ke kampungnya, dia mengeluh kerana langkahnya sangat perlahan. Dalam perjalanan dia terserempak dengan seorang lelaki yang hairan dengan keadaannya. Lalu lelaki itu bertanya: "Tuan dari mana dan hendak kemana?" "Saya baharu dibebaskan dari perhambaan dilombong di sana, dan sekarang saya sangat teruja untuk bertemu keluarga saya dikampung" "Tahniah saya ucapkan, tetapi mengapa tuan kelihatan sedih?" "Saya merasa sangat letih berjalan dan langkah saya pun agak perlahan dek kerana rantai di kaki saya ini. Saya terfikir apakah yang boleh saya lakukan dengan ...

DUA BELAS: MENEBANG POKOK ATAU MENEBAS SEMAK: ANTARA BUKU DAN KERTAS ILMIAH

Seorang tuan tanah berhasrat membersihkan tanah terbiarnya yang penuh hutan dan belukar untuk membina rumah di situ. Dia pun mengupah seorang kontraktor. Sebagai imbuhan, dia menjanjikan upahan berdasarkan berat daun dan kayu yang dibuang. Setelah sebulan, dia membayar upahan menurut janjinya. Namun apabila dia pergi melihat tanahnya, walaupun banyak belukar yang telah dibersihkan, masih terdapat pokok-pokok besar ditanahnya. Beberapa lama berlalu, dia memanggil semula kontraktor itu untuk membersihkan lagi tanahnya. Kontraktor itu sekali lagi membawa banyak sisa daun dan belukar yang telah dipotong, dan dibayar seperti biasa, menurut berat sisa yang dipotongnya.  Namun tuan tanah sekali lagi kecewa melihat tanahnya yang walaupun bersih dari belukar dan semak, namun masih banyak pokok besar yang tidak diusik. Rupanya si kontraktor itu hanya membersihkan belukar dan semak yang tumbuh semula selepas dia menebasnya kali pertama.  Tuan tanah yang tidak berpuas hati meminta kontrak...

LAPAN-TUKUL BESI DAN PAKU: SAINTISME MENJADI ANUTAN ILMUAN MODEN.

Ada suatu peribahasa sejagat yang mengatakan, jika seseorang itu memegang tukul, segala yang dilihatnya seumpama paku. Ini bermaksud, kecenderungan seseorang untuk melihat dan menyelesaikan masalah hanya dengan cara yang dia biasa faham dan gunakan, walaupun ada kalanya cara itu tidak sesuai. Bayangkan seorang anak melihat ayahnya menggunakan tukul untuk memaku papan dinding. Teruja, dia turut ingin mencuba membuat perkara yang sama. Suatu hari apabila dia melihat ibunya sedang menyucuk jarum kedalam langsir tebal yang hendak dijahitnya, lalu sianak terus mengambil tukul dan mengetuk jarum agar lebih senang masuk ke dalam jahitan. Tentunya jarum boleh patah, bahkan mungkin jari ibunya akan cedera. Bagi si anak, jarum dan paku tiada bezanya. Bunyinya mungkin lucu, atau mustahil, tetapi hakikat inilah yang sedang dialami dalam pengurusan ilmu di universiti di negara ini. Ini menjadi masalah apabila alat atau cara untuk melaksanakan sesuatu, diambil dari pada cara yang biasa digunakan ole...

Kesan Budaya Penyelidikan Universiti Masakini Terhadap Kreativiti, Inovasi dan Kualiti Akademik

1. Pengenalan Dalam dua dekad terakhir, budaya penyelidikan global telah berubah dengan ketara akibat tekanan metrik yang melampau seperti publish or perish , faktor impak, penarafan universiti dan penilaian berasaskan kuantiti penerbitan. Walaupun pendekatan ini sering digambarkan sebagai kemajuan ke arah ketelitian saintifik, perubahan ini sebenarnya mencerminkan pengaruh semakin kuat daripada positivisme dan reduksionisme. Positivisme, yang cenderung menganggap pengetahuan hanya sah apabila ia dapat diukur dan dibuktikan secara empirikal, dan reduksionisme, yang memecahkan fenomena kompleks kepada unit-unit kecil yang terasing daripada konteksnya, telah membentuk bukan sahaja cara penyelidikan dijalankan, tetapi juga menentukan siapa yang mampu bertahan dalam dunia akademik (Broadbent, 2002). Esei ini berhujah bahawa budaya penyelidikan yang sangat positivistik dan reduksionis mewujudkan ekosistem akademik yang kurang mendorong kreativiti, rendah keupayaan inovasi dan lebih mengutam...