(Artikel ini disunting dari suatu esei yang ditulis di dalam buku "Red Flag" terbitan Skolar Malaysia 2024)
Krisis kesarjanaan di pendidikan tinggi merupakan suatu fenomena global yang tidak boleh dinafikan [i]. Hari ini wujud di kalangan awam, rungutan, atau keluhan tentang impak kesarjanaan pendidikan tinggi negara. Kebelakangan ini, seandainya kita meneliti tajuk berita, blog popular, siaran Facebook yang tular, kita akan mendapat persepsi yang suram terhadap akademia Malaysia. Walaupun universiti tempatan sering melagukan tentang lonjakan mereka dalam permainan ranking global, kita terus mendengar keluhan orang awam tentang akademia. Antara rungutan yang sentiasa kita dengar ialah, universiti terpisah dari industri dan masyarakat[ii], graduan tidak berkompetensi dalam pekerjaan[iii], kadar pekerjaan graduan yang rendah[iv], penukaran inovasi yang perlahan kepada pengkomersilan[v], tekanan persekitaran kerja untuk kakitangan akademik[vi]. Kisah2 sebegini seolah2 menggambarkan ada sesuatu yang telah menumpulkan ketajaman kesarjanaan pendidikan tinggi negara. Seolah2 kesarjanaan itu telah dikasikan sehingga menjadi lemah, tidak berupaya memberi kesan kepada masyarakat.
Selain dari itu, antara yang boleh dipersoalkan ialah ketandusan pemikiran yang perlu setanding dengan kemakmuran negara yang kita kecapi sekarang. Dengan kemakmuran ekonomi yang ada sekarang, yang membolehkan kita memperoleh teknologi terbaik di luar sana, infra terbaik dan dengan pendemokrasian maklumat, sepatutnya, kita harus berkelakuan dan berfikir seperti rakyat negara maju. Namun, ada sesuatu yang tidak kena. Mentaliti kita, budaya kita, politik kita, nampaknya tidak mencerminkan pencapaian sebegini. Mengapa kita tidak boleh melakukan ini? Adakah kita kekurangan kemampuan psiko-sosiologi untuk berfikir dan berdiri seperti sebuah negara maju?[vii] Mengapa kita tidak merasa seperti hidup dalam masyarakat yang maju? Masyarakat Kita tidak menunjukkan kemampuan berfikir seperti negara maju. Lebih teruk lagi, cara pemikiran kita sebagai sebuah negara nampaknya seolah2 terperangkap di dalam era lampau. Jika kita melihat dialog awam, kita kerap bertemu dengan pemikiran politik sempit, ataupun dengan sentimen perkauman dan agama. Dalam lingkungan sebegini, rasuah yang berleluasa, kemerosotan moral, kemiskinan, kerosakan alam sekitar, kapitalisme liar, kemerosotan generasi muda, dan lain-lain nampaknya semakin menjadi-jadi.
Hal ini membingungkan. Kita mempunyai cukup banyak institusi pengajian tinggi, beribu-ribu profesor, menghasilkan puluhan ribu graduan setiap tahun. Namun, senario semasa seolah-olah menunjukkan kita tidak mempunyai ramai pemikir yang berwawasan, ilmuwan berkualiti, graduan yang bijaksana yang boleh mengkayakan pemikiran masyarakat dan meningkatkan kesejahteraan negara. Banyak ulasan awam tentang akademia negara, bukan dari sudut yang positif. Hampir setiap masa, akan ada artikel, catatan blog, editorial, dan pendapat; yang meratapi kualiti graduan yang rendah, kemajuan inovasi yang perlahan, tidak relevan dan redundansi jutaan ringgit geran penyelidikan. Jika ada pendapat yang membela universiti tempatan, mereka selalunya datang daripada ilmuwan universiti sendiri, menegaskan bahawa bukti kualiti adalah dalam kedudukan universiti tempatan yang semakin meningkat dalam permainan ranking Universiti, dengan memetik pelbagai matriks seperti skor penerbitan, angka siswazah. , jumlah sitasi, jumlah geran diperolehi dan bilangan pelajar bergraduat.
Saya percaya, persepsi ini wujud berdasarkan perkara2 yang berlaku dalam masyarakat. Saya percaya, dan menjadi saranan penulisan ini, bahawa masalah2 ini berpunca dari falsafah pendidikan tinggi kita, atau lebih tepat lagi, kita tidak mempunyai satu falsafah yang jelas dan mantap. Dalam apa jua yang kita lakukan, kita berpegang kepada asas yang berpecah-belah dan prinsip yang bercanggah. Akhirnya, kita bingung apabila bahagian yang berbeza tidak dapat disatukan sebagai gambaran yang menyeluruh. Institusi akademik sedang bergelut untuk mengharmonikan misi mereka; antara mendidik manusia, melahirkan sumber manusia yang menurut kehendak industri, meneroka sempadan pengetahuan baharu, menonjolkan imej prestij dan kualiti untuk menarik lebih banyak sumber dan dana, dan menghasilkan penyelesaian yang inovatif. Menguruskan akademia nampaknya bukan sekadar mengimbangi objektif yang berbeza, malah ada kalanya memerlukan penyelarasan objektif yang bercanggah antara satu sama lain, yang boleh membawa kepada psikosis kesarjanaan.
Sebagai contoh, apabila pensyarah mengajar, adakah mereka mengajar pemikiran baharu atau adakah mereka mengajar kemahiran asas yang menjadi kelaziman Industri? Adakah mereka menyuntik kebebasan berfikir graduan atau menghasilkan manusia yang akur kepada kehendak pasaran semasa? Apabila mereka ingin mencipta nilai kesarjanaan, adakah mereka berkongsi ilmu dengan penerbit berbayar yang eksklusif yang akan melonjakkan resume peribadi atau, ianya disebarkan meluas untuk bacaan masyarakat?[1] Apabila mereka melakukan penyelidikan, patutkah mereka melakukan penyelidikan untuk melonjakkan sitasi peribadi sarjana atau menyelesaikan masalah masyarakat? Patutkah mereka memulakan siasatan dengan melihat kesan masyarakat atau kesan saintifik? Apabila kementerian memperuntukkan bajet, adakah ia perlu diutamakan kepada universiti miskin yang memerlukan kemudahan asas atau fokus kepada universiti berprestij yang menjanjikan prestij dan kedudukan ranking lebih tinggi? Tanpa falsafah dan prinsip kesarjanaan yang jelas, kukuh dan menyeluruh, krisis intelektual akademia tidak dapat dielakkan.
Kenapa aspek pengajian tinggi negara seoalah2 terbarai dan terpisah begini. Ingin diutarakan di sini, masalah ini ada kaitan dengan suatu pendekatan pemikiran yang menjadi amalan dunia moden, terutamanya di Institusi ilmu. Ia suatu jenis tabiat pemikiran yang selama ini menjadi sanjungan tamadun moden. Namun pada kurun ke 20, ianya mula dipersoalkan dengan hebat di kalangan ilmuwan barat. Namun tidak di dunia sebelah timur, yang masih berpegang teguh tanpa soal akan pemikiran moden ini. Saya percaya krisis ini adalah simtom pemikiran tersebut yang telah terbiasa dengan kaedah membaraikan fenomena kepada komponen kecil yang mudah diukur dan diselesaikan. Ia dipanggil reduksionisme. Reduksionisme adalah salah satu cabang falsafah moden yang mencetus kemajuan saintifik. Melalui pendekatan ini, setiap fenomena alam dan manusia dibahagi2kan kepada komponen yang mudah diukur dan diurus. Kita akan lihat dasar dan asal usul pemikiran ini kemudian.
Akibat dari penemikiran sebegini, kita sebagai individu dalam satu kumpulan, masing2 mahir dalam aspek kecil yang berbeza2 bagi sesuatu fenomena namun tidak mampu mempunyai gambaran besar tentang hakikat fenomena tersebut. Akibatnya kita sebagai organisasi, tidak nampak hakikat sebenar sesuatu permasalahan. Ini sering digambarkan di dalam analogi sekumpulan orang buta yang cuba mengenali gajah. Masing2 menegakkan pendapat sendiri tentang apa yang dipegangnya, tetapi tidak ada yang dapat memberi pengertian tentang apa itu seekor gajah.
Bayangkan analogi ini pula. Seorang pemuda diberi senarai nama dan diarahkan berdiri di hadapan pintu bangunan tempat suatu majlis keraian sedang berlangsung. Arahan khusus untuk beliau adalah memastikan hanya orang yang namanya berada di dalam senarai itu dibenarkan masuk. Segala-galanya kelihatan baik-baik saja sehingga tuan rumah menyedari bahawa makanan untuk majlis itu masih belum dihantar oleh pembekal. Setelah disiasat, pembekal hidangan memang telah datang untuk menghantar makanan tetapi dihalang oleh pemuda itu. Ternyata senarai itu mengandungi nama tetamu ke majlis itu, dan sudah tentu pembekal hidangan tidak disenaraikan kerana dia bukan tetamu. Akhirnya majlis menjadi huru hara walaupun pemuda dan pembekal hidangan telah melaksanakan tugas mereka dengan sebaik mungkin. Pengajarannya ialah tanpa semua pihak mempunyai gambaran besar; inisiatif yang dirancang dengan baik boleh menjadi krisis yang tidak terduga. Lelaki muda itu boleh mungkin boleh menilai dengan lebih baik jika dia diterangkankan tentang gambaran besar senarai dan majlis yang sedang berlangsung di dalam bangunan tersebut.
Perkara yang sama boleh diandaikan sedang berlaku dalam akademia Malaysia, iaitu pada hakikatnya tidak ada GAMBARAN BESAR yang dikongsi oleh semua. Setiap pihak memberi tumpuan kepada arahan tertentu tentu untuk entiti masing2 yang kadangkala nampak bercanggah antara satu sama lain. Kalau di dalam sebuah universiti ini sangat jelas. Untuk aktiviti penyelidikan, ia diselenggara dibawah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan yang sentiasa menghambat penyelidik agar menghasilkan kuantiti penyelidikan yang dikehendaki. Aspek hubungan Industri dan Masyarakat pula diselenggara oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan. Tugasnya memastikan pensyarah dan pelajar sentiasa melaksanakan libatsama dengan Industri dan Masyarakat. Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal ehwal Pelajar pula sentiasa memantau aspek pengajaran dan aktiviti pelajar. Dia pula akan menghambat pensyarah agar memberikan pengajaran dan pembelajaran terbaik. Kaedah pengurusan sebegini mungkin perlu demi kecekapan. Masalah timbul apabila setiap entiti tersebut diberi KPI yang perlu di ukur untuk dijadikan laporan kepada kementerian untuk menunjukkan prestasi masing2. Kadangkala, keperluan ini bercanggah antara satu sama lain. Pensyarah terjerat antara kehendak pengajaran yang diukur dengan masa dan pencapaian CGPA pelajar, dan keperluan untuk menguruskan penyelidikan yang diukur dengan jumlah geran dan penulisan jurnal yang memerlukan fokus yang bukan sedikit. Bahagian pentadbiran pula mendesak agar segala prosedur aktiviti memenuhi kehendak sistem pengurusan (biasanyapiawaian ISO) yang kadangkala memerlukan pensyarah berfikir sebagai pentadbir. Aspek ini dinilai dengan proses pengiraan berapakah kesalahan atau pelanggaran prosedur dokumen yang perlu dielakkan. KPI jaringan industri dan masyarakat pula memerlukan pensyarah mendapatkan dana atau sumbangan industri dalam bentuk kewangan atau nilai setara yang boleh dijadikan angka dalam laporan.
Kesan dari pendekatan berderai sebegini menyebabkan masalah yang kita bincangkan di awal tadi. Kita mungkin cemerlang dalam setiap sasaran KPI, tetapi kita mungkin gagal teruk apabila dilihat dari gambaran besar. Kita mungkin melonjak beberapa tahap pada kedudukan ranking, namun orang ramai mengadu sumbangan ilmiah yang rendah untuk mengurangkan masalah negara. Kita mungkin dapat menghasilkan nombor yang diperlukan untuk pasaran kerja, tetapi bukan kualiti yang diperlukan. Kita mungkin boleh menghasilkan beribu-ribu paten setahun, tetapi hampir tidak ada yang mempunyai potensi pengkomersilan. Kita mungkin dapat mencurahkan beribu-ribu pengetahuan baharu setiap tahun, namun orang ramai nampaknya tidak menyedarinya.
Mungkinkah ini krisis yang sama menimpa tuan rumah keraian di dalam analogi di atas? Akademia pada masa ini hanyalah sekumpulan orang pintar yang fikirannya sibuk pada aspek yang sangat kecil dari gambaran yang sangat besar.
Pematuhan buta terhadap falsafah inilah yang telah menyebabkan krisis semasa dalam akademik Malaysia. Apakah jenis kerosakan yang boleh menimpa akademia Malaysia? Saya akan katakan, banyak. Seterusnya, mari kita cuba memahami krisis yang sedang menghantui akademik Malaysia kerana kegilaan dengan falsafah ini.
Sekadar untuk mengimbas kembali, pendekatan reduksionisme untuk memahami masalah, atau mengenal pasti penyelesaian yang diperlukan, adalah dengan mengasingkan dan memfokuskan hanya pada faktor-faktor yang mempunyai kesan yang boleh diukur. Walaupun jika difikir secara lojik, fokus kepada prestasi yang boleh diukur dapat memberi kecekapan pengurusan prestasi sesebuah universiti, namun dari segi lain, ia mempunyai kelemahan. Pengurusan universiti bukan hanya pengurusan sumber kewangan, ia melibatkan manusia dan kemanusiaan. Malangnya apabila melibatkan unsur manusiawi, banyak faktor yang tidak boleh diukur, justeru penyelesaian yang dicadangkan jarang mengambil kira kesemua dinamik sesuatu fenomena.
Masalah lain ialah fenomena kehidupan sebenar selalunya lebih besar dari jumlah bahagian2nya yang boleh dikira (More than the total sum of its part). Manusia bukan sekadar koleksi sel biologi dan tindak balas kimia. Dorongan dan motivasi dalaman bukan hanya bergantung kepada faktor terukur, seperti keperluan ekonomi. Walaupun dengan kepincangan sebeginii, pegangan reduksionisme terus menjadi paradigma dominan yang mencengkam hampir setiap aspek kemanusiaan termasuk akademia.
Di luar akademia, kita sedar kelemahan ini dan jarang bergantung semata-mata pada cara pemikiran reduksionis dalam membuat keputusan. Cuba kita ambil contoh menilai kecekapan seorang graduan baharu untuk temuduga suatu pekerjaan. Bakal majikan faham bahawa adalah tidak masuk akal untuk mengambil seseorang pekerja hanya dengan melihat nombor PNGK atau pun sekeping ijazah. Terdapat banyak faktor lain yang akan menentukan kecekapan dan potensi prestasinya. Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk mengadakan temu duga secara bersemuka. Semasa temu duga, bakal majikan akan menilai banyak faktor lain yang tidak diukur oleh PNGK, seperti penglibatan graduan dalam aktiviti sosial, keupayaan kerja berpasukan, kesedaran tentang budaya dan trend terkini, aktiviti kokurikulum, sikap, malah hingga ke jiwa mereka. Sesetengah organisasi juga mempunyai ujian khas untuk menilai lagi kecekapan pemohon. Kadang-kadang terpulang kepada penemuduga individu untuk bertanya soalan-soalan aneh untuk memuaskan rasa ingin tahunya. Mengapa semua ini perlu? Bukankah PNGK sudah mencukupi? Ia tidak mencukupi kerana sebagai cara reduksionis semata-mata untuk memahami sesuatu fenomena, ia tidak menangkap gambaran keseluruhan. Penilaian subjektif, meta PGNK ini adalah perlu untuk mendapatkan gambaran yang lebih baik dan komprehensif tentang potensi calon. Saya akan menyebut penilaian meta PGNK ini sebagai 'pecantuman semula gambaran sebenar' dari pecahan ukuran reduksionisme yang kecil.
Pasaran kerja cukup bijak untuk menyediakan mekanisme penilaian bukan metrik ini sebagai langkah pembetulan untuk membuat keputusan dalam pengambilan pekerja. Tragedi yang menimpa ahli akademik ialah ia mengenepikan penggunaan gambaran besar dalam menilai nilai ilmu dan ilmuwan. Universiti dinilai berdasarkan paradigma reduksionis yang berderai manakala tiada mekanisme pemasangan semula keseluruhan untuk memberikan penilaian prestasi yang komprehensif terhadap impaknya. Pentadbir diberikan set senarai semak dan metrik khusus untuk menilai prestasi fakulti, prestasi kakitangan, semakan pembiayaan, kualiti pengajaran dan penyelidikan dan lain-lain. Akibatnya, penilaian prestasi sebenar dan kesan akademik boleh diputarbelitkan, menjadi permainan nombor yang terpesong atau mengelirukan sama sekali. Ini membawa kepada bencana yang lebih besar apabila penilaian yang serong digunakan untuk membuat keputusan penting seperti peruntukan belanjawan, kenaikan pangkat dan tempoh perkhidmatan, pemecatan, insentif dan hukuman. Walaupun terdapat percubaan untuk menjalankan penilaian di luar metrik dalam beberapa proses penilaian, ia hanyalah 'formaliti'. Sebagai contoh, untuk kenaikan pangkat, atau permintaan pembiayaan, terdapat temu bual dan pembentangan. Walau bagaimanapun, mereka ditapis dengan ketat mengikut metrik ukuran tertentu sebelum mereka dibenarkan interaksi bersemuka. Saya telah melalui banyak interaksi sedemikian. Nombor tertentu mesti dipenuhi, kriteria tertentu harus ditandakan. Walaupun semasa interaksi bersemuka, penilai menghabiskan lebih banyak masa melihat maklumat bercetak, nombor dan kotak semak daripada melibatkan diri berinteraksi dengan pemohon sebagai seorang insan.
Reduksionisme Liar
Saya percaya, masalah yang dinyatakan diasas berpunca dari dasar falsafah yang dipegang. Walaupun pada awalnya saya menekankan seolah2 akademia tiada falsafah yang jelas dan mantap, namun disini ingin saya nyatakan ini bukanlah bermaksud tiada sebarang falsafah yang menjadi asas. Falsafah itu ada, namun pegangan membabi buta dan berlebihan, yang saya sifatkan sebagai pegangan liar, terhadap falsafah ini, menjadi punca krisis ini. Ianya berpunca dari falsafah reduksionisme tadi. Falsafah ini, adalah punca akademia Malaysia mengalami krisis kemandulan kesarjanaan dan terbelenggunya intelektualisme negara. Untuk mengelakkan dari krisis akademia negara berlarutan, ia mesti diletakkan ke tempat yang sepatutnya.
Falsafah redaksonisme ini telah wujud sejak dari kurun ke 17 masihi Lagi. Ia dimasyhurkan oleh Renee Descartes (1596-1650), seorang ahli falsafah Perancis. Ianya boleh diringkaskan sebagai membaraikan fenomena kepada komponen2 kecil yang boleh dikaji dan dilaras secara berasingan, demi memudahkan manusia memahami alam dan mengukur setiap komponen tersebut. Untuk mudah difahami, bayangkan seorang yang sedang cuba memahami seekor katak, membedahnya dan memeriksa bahagian2 berasingan katak tersebut. Falsafah ini sangat berkesan di dalam fizik, matematik, biologi dan lain2 ilmu sains tulen. Namun kekaguman kepada kecekapannya membina ‘ilmu’ menyebabkan ia diangkat ke bidang kemanusiaan pula.
Falsafah reduksionisme ini juga digunapakai di akademia. Ia membahagikan fenomena akademia (atau apa-apa juga fenomena alam mahupun kehidupan) kepada deraian kecil yang boleh diukur satu persatu. Namun krisis yang timbul ialah apabila ilmuwan yang berbagai bidang ini tidak mampu menggarap gambaran besar tentang sesuatu fenomena, iaitu kefahaman menyeluruh tentang fenomena tesebut.
Untuk mengulas krisis ini kita perlu memahami falsafah kerana punca masalahnya adalah pada tahap falsafah dasar itu sendiri. Namun masalahnya di sini, falsafah bukanlah perkara yang digemari oleh sarjana kontemporari. Sebarang perbincangan yang mengandungi konsep abstrak dengan cepat akan dilabelkan sebagai "retorik" dan tidak perlu diberi perhatian serius. Ada sarjana yang akan cepat mencemuh apabila mendengar ungkapan ‘falsafah’. Bagi mereka apa yang penting ialah data 'empirikal' dari dunia nyata (Ini juga berpunca dari suatu falsafah lain yang ada kaitan dengan reduksionisme). Penyelesaian pantas berdasarkan data saintifik menjadi ciri intelektualisme moden dan sering dijulang atas dasar ‘kecekapan’. Bagi ahli akademik, yang khususnya bertanggungjawab membina insan, ini adalah malang. Ia mewujudkan krisis semasa atau kemandulan yang terlihat sekarang.
Ironinya, dalam meremehkan peranan falsafah pada masa ini oleh akademia, ia memegang pula falsafah reduksionisme secara total tanpa persoalan. Bahkan ramai ilmuwan yang ilmunya berdasarkan falsafah reduksionisme itu sendiri mungkin tidak sedar atau tidak tahu apa itu reduksionisme. Samada kita mahu mengakui atau tidak, krisis yang ditonjolkan di atas ini berasal dari falsafah ini yang secara umumnya memihak kepada pandangan dunia saintifik. Yang menjadikan isu ini rumit, falsafah ini juga yang telah banyak membantu kemajuan manusia selama ini. Mungkin sejarah pencapaian yang lalu itulah yang menyebabkan kekaguman dan penganutan melampau terhadapnya.
Pada permulaannya ia boleh digambarkan sebagai pandangan dunia yang mekanistik, reduksionis, dan Cartesian. Ia digelar Cartesian kerana ia dijulang oleh Descartes sendiri. Antara lain, ia melibatkan pembaraian pengalaman manusia dan dunia sebenar kepada bahagian kecil yang boleh diurus. Kemanusiaan dilihat sebagai jam mekanikal, yang boleh dileraikan atau dibaraikan dan dikaji satu persatu seara berasingan. oleh itu perkataan mekanistik kadangkala sesuai digunakan. Tidak dinafikan, ia adalah konsep berguna yang telah banyak membantu mendorong manusia ke era moden seperti yang kita ketahui hari ini.
Ia dipanggil reduksionisme kerana ia menurunkan status sesuatu fenomena kepada komponen2 kecil. Contohnya kajian tentang fenomena kemanusiaan diturunkan dari sesuatu yang kompleks kepada suatu sistem biologi yang boleh dikaji pula secara terpisah di antara sistem otot, sistem penghadaman, sistem saraf, sistem pembiakan. Fenomena pemikiran dan tabiat pula diturunkan kepada sains psikologi yang seterusnya boleh diturunkan kepada interaksi kimia di dalam sistem saraf. Soal2 metafizik dan insaniah, seperti jiwa, ruh, jatidiri, semangat, tidak diberi perhatian kerana ia tidak dapat di garap atau diukur secara empirikal.
Ia juga dipanggil pendekatan reduksionisme kerana untuk memastikan hubungan sebab dan akibat sesuatu fenomena, ia mengenepikan atau mengurangkan, (reduce) banyak faktor yang yang menjadi penyumbang kepada fenomena tersebut, yang tidak memnuhi kriteria saintifik, iaitu ia tidak dapat diukur.
Selama beratus-ratus tahun falsafah ini telah menjadi asas kepada penyelidikan saintifik. Manfaatnya jelas dapat dilihat apabila lonjakan kemajuan dicapai oleh tamadun yang menganutinya. Boleh dikatakan bahawa tamadun barat telah menakluki dunia moden melalui kemajuan sains dan teknologi yang merupakan hasil kaedah epistemologi yang dirangka oleh cara berfikir Descartes. Apa yang malang ialah, apabila falsafah ini digunapakai di dalam aspek kehidupan yang lain, terutama dalam aspek kemanusiaan. Seorang ahli fizik moden, Fritjoff Capra telah berhujah bahawa penguasaan mod reduksionisme, yang berasal dari bidang sains tulin, ke atas semua aspek kehidupan yang lain telah mengakibatkan krisis dunia moden yang ketara, seperti kebuluran, peperangan, kemusnahan alam, kelaparan dan kemiskinan[viii]. Antara lainnya, boleh dibahaskan, bahawa ia berpunca dari pendekatan reduksionis yang menggarap dan merumuskan penyelesaian kepada sesuatu masalah dengan mengecualikan faktor yang tidak dapat diukur, menyebabkan kefahaman dan penyelesaian kepada sesuatu fenomena sebenarnya tidak tepat.
Keselesaan orang eropah menjadi ikutan.
Sebagai contoh, kita kaji pendekatan reduksionisme dalam kajian keselesaan termal manusia. Untuk mengkaji kesan suhu yang berbeza pada keselesaan manusia, saintis akan meleraikan faktor yang mungkin mempengaruhi keselesaan, kepada beberapa komponen yang mudah diukur, iaitu suhu udara, suhu pancaran, kelembapan udara, kelajuan angin, kadar metabolisma dan kadar penebatan pakaian. Setiap faktor diukur satu persatu. Kesan dari pengukuran ini kemudiannya digabungkan dengan formula matematik dan dijadikan algoritma yang memberikan suatu angka indeks keselesaan[ix]. Apa yang malangnya, terdapat banyak faktor yang tidak boleh diukur di dalam makmal di ketepikan. Contohnya faktor kesan emosi (psikologi), kesan budaya, kemampuan adaptasi manusia dan banyak lagi faktor yang ada didunia nyata yang sukar diukur dalam eksperimen ini. Akhirnya hanya faktor terpilih sahaja yang akan digabungkan di dalam suatu algoritma matematik yang memberi gambaran tentang keselesaan seseorang manusia.
Pendekatan reduksionis yang digunakan dalam eksperimen ini seterusnya menyimpulkan bahawa terdapat enam faktor yang menyumbang kepada persepsi manusia terhadap persekitaran terma mereka, tidak termasuk pembolehubah lain yang juga mempunyai kesan, tetapi dianggap terlalu kompleks atau tidak boleh diukur untuk dimasukkan ke dalam algoritma tersebut.
Ia dianggap sebagai kejayaan saintifik bapabila model keselesaan terma yang dihasilkan, boleh dianggap sebagai anggaran tepat tentang respon manusia dengan persekitaran terma dengan hanya mengukur pembolehubah ini. Dengan mengukur faktor2 ini, algoritma tersebut boleh meneka persepsi keselesaan 80% dari penghuni ruang tersebut. (Enam faktor tersebut ialah suhu, kelembapan, suhu haba pancaran, kelajuan udara, kadar metabolisme dan tahap pakaian).
Eksperimen untuk menghasilkan algoritma ini yang dinamakan model keselesaan terma, telah dibangunkan oleh O.P. Fanger pada tahun 1970-an[x]. Ia dijalankan dengan beberapa orang diletakkan dalam kamar yang boleh dikawal iklimnya. Untuk mendapatkan keteguhan formula matematik, beliau hanya menggunakan subjek dari kalangan lelaki muda Denmark berkulit putih, untuk memastikan kesan budaya, pfisiologi, emosi dan faktor2 lain yang tidak dapat diukur, diseragamkan. Disini jelas prinsip redaksionis digunapakai. Kestabilan algoritma ini telah dibuktikan dalam beberapa kajian serupa. Akhirnya ia digunakan sebagai kaedah reka bentuk piawaian untuk jurutera mekanikal untuk mengira keperluan sistem pendingin hawa untuk keselesaan di dalam bangunan di seluruh dunia.
Semuanya kelihatan baik apabila, di dalam bilik berhawa dingin yang direka mengikut piawaian algoritma ini, kebanyakan penghuni menunjukkan penerimaan terhadap suhu yang ditetapkan oleh pendingin hawa. Namun akhirnya, apabila penggunaan tenaga yang berlebihan mengakibatkan krisis sosio-politik dan alam sekitar yang tidak pernah dilihat sebelum ini, masyarakat menjadi prihatin tentang penggunaan tenaga. Dengan 40% penggunaan tenaga dalam bangunan dikaitkan dengan penyejukan dan pemanasan ruang, orang ramai mula mempersoalkan kesahihan model keselesaan terma sejagat ini. Ramai mula sedar bahawa di negara-negara di mana iklim panas adalah norma, orang mula memakai pakaian Eropah untuk menjadi selesa. Jaket, tali leher, stokin, menjadi kebiasaan di negara-negara di mana sebelum ini mereka selesa dengan pakaian nipis. Seoalah2 kini semua orang sepatutnya berasa selesa dalam iklim sejuk. Setelah diteliti, kita akan mendapati bahawa generasi baru dalam iklim yang lebih panas sudah terbiasa dengan keadaan terma yang disediakan di rumah berhawa dingin, pejabat, pusat membeli-belah dan juga kereta. Ingat eksperimen yang dilakukan oleh Fanger? Ia dilakukan dengan subjek kulit putih Eropah, kawasan beriklim sejuk. Jelas, model itu telah menyebabkan orang menerima pakai dan menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Pada masa ini terdapat banyak hujah balas terhadap model reduksionis yang dibangunkan oleh Fanger. Bukan objektif artikel ini untuk membincangkan isu ini secara terperinci. Tetapi cukup untuk mengatakan di sini, model reduksionis dalam kajian ini telah menyebabkan pembaziran guna tenaga yang bukan sedikit akibat dari ketagihan terhadap sistem pendigin hawa yang berasaskan model ini. Ia masalah yang tidak dapat dipulihkan yang kini menghantui tamadun kita.
Kenapa begitu? Ingat, model reduksionis mengecualikan banyak pembolehubah untuk memahami fenomena ini? Faktor yang mereka ketepikan, seperti kapasiti penyesuaian manusia, tindak balas budaya, fisiologi ras yang berbilang, kesan emosi dan perangai sebanarnya tetap ada didunia nyata. Ia diketepikan dengan harga yang mahal, iaitu guna tenaga untuk pendingin hawa menyediakan keadaan termal seperti yang diingini oleh subjek Eropah dalam kajian asal. Banyak tenaga yang digunakan kerana penggunaan buta model ini. Dan krisis tenaga bukan sahaja bermaksud masalah membayar bil letrik yang mahal, ia juga menyebabkan pelepasan karbon yang tinggi, yang menjadi punca perubahan iklim, corak cuaca tidak menentu, menyebabkan kerosakan alam sekitar, dan kerosakan pertanian dan akhirnya kebuluran. Seterusnya kita lihat pula bagaimana pendekatan redaksionsime ini menyebabkan krisis sosioekonomi.
KDNK, Inovasi hebat yang menghuruharakan
Suatu lagi contoh kemudaratan pegangan reduksionisme ini boleh dilihat di dalam bidang ekonomi dan kemanusiaan. Keluaran Dalam Negara Kasar, atau KDNK (GDP) adalah suatu formula matematik yang digunakan untuk pengukur tahap pencapaian ekonomi sesuatu negara. Pada asalnya ia adalah projek untuk menilai tahap perbelanjaan negara bagi menggambarkan kekukuhan ekonomi Amerika Syarikat pada tahun 1930-an[xi] (Masood 2016). Ketua projek itu, Simon Kusnetz, telah melakukan pengiraan perbelanjaan swasta dan orang awam dengan begitu teliti. Hasilnya ia memberi gambaran yang baik tentang keadaan ekonomi negara ketika itu. Oleh kerana ia sesuatu yang senang diukur dan dikira, terdapat desakan untuk menjadikan pengiraan tersebut sebagai suatu formula matematik untuk menggambarkan kesejahteraan sesebuah negara. Disini kita melihat semula tren pemikiran reduksionisme untuk merendahkan suatu fenomena kehidupan, iaitu kesejahteraan, kepada suatu formula matematik yang boleh diukur, iaitu perbelanjaan kewangan. Pada awalnya pencipta kaedah ini keberatan untuk menjadikan ia suatu formula matematik, kerana bimbang ia akan dijadikan model untuk mengukur kesejahteraan dan bukan ukuran perbelanjaan negara semata2. Namun oleh kerana desakan pemikiran reduksionisme yang ingin memudahkan proses membuat keputusan, ia tetap dijadikan formula matematik. Akhirnya ia diangkat seabagai model matematik yang digunapakai seluruh dunia.
Kesan dari penggunaan KDNK kepada tamadun manusia hanya kini mula dikenalpasti. Formula ini tidak mengambikira faktor kemanusiaan, seperti pekerjaan, tahap kesihatan, tahap pendidikan, sumber alam semula jadi, pencemaran alam dsb[xii]. Akibatnya kebanyakan sistem politik dunia mengejar pertumbuhan KDNK dengan mengorbankan faktor kemanusiaan dan alam. Sehingga kini, ianya masih menghasilkan huruhara yang berterusan, penindasan ekonomi, penjarahan sumber alam, jurang ekonomi rakyat bahkan perperangan merebut sumber tenaga, dan berbagai lagi.
Reduksionisme sebagai Keganasan Epistemologi
Tentangan terhadap dominasi reduksionisme juga disuarakan oleh ilmuwan yang menjadi aktivis kemanusiaan kemanusiaan. Vandana Shiva adalah seorang ilmuwan dari India yang terkenal dengan pandangan kritikalnya terhadap eksploitasi alam sekitar oleh sains dan kapitalisma. Seperti Capra, beliau juga bermula dengan bidang fizik, tetapi menjadi penentang tegar fahaman reduksionisme. Dia juga dikenali diatas perjuangannya menjulang pertanian mesra alam dan menentang penghasilan pertanian GMO. Suatu artikel menarik yang ditulisnya bertajuk "Redaksonisme sebagai keganasan epistemologi (Reductionist Science as Epistemological violence)"[xiii] memaparkan penentangan keras beliau terhadap reduksionisme dalam bidang keilmuan. Shiva melontarkan pandangan bahawa reduksionisme bukan hanya menjadi asas kepada teknologi keganasan perang dan kapitalisme liar, bahkan ia adalah ideologi ganas yang merobek keilmuan manusia melalui politik epistemologi. Beliau menyatakan keganasan yang dilakukan oleh reduksionisme ada dalam empat bentuk: Keganasan terhadap subjek ilmu, keganasan terhadap objek Ilmu, Keganasan terhadap penerima ilmu, dan keganasan terhadap ilmu itu sendiri.
Antara kaedah reduksionisme kini menjadi dominan ialah melalui apa yang kita fahami sebagai 'Ilmu Sains' , 'Kaedah Saintifik' dan 'eksperimen makmal terkawal." Reduksionisme asalnya pendekatan yang sangat tepat untuk memahami ilmu sains semulajadi, dan matematik. Namun ia menjadi pendekatan yang sesat apabila digunakan untuk memahami dan mengatur kehidupan, terutamanya kehidupan manusia. Reduksionisme juga secara halusnya menyebabkan terjadi pemisahan antara "pakar" dan "sijahil". Selain itu juga ia menjadikan sang pakar sebagai sijahil apabila berada diluar kepakaran bidangnya. Secara ringkasnya, ia menjadikan ilmu hanya dikuasai oleh golongan terpilih dalam bidang masing2 dan penyatuan ilmu dianggap sebagai sesuatu yang remeh dan tidak sahih.
Pandangan dari Sudut Islam
Terdapat ilmuwan Islam yang turut menyuarakan penentangan terhadap reduksionisme kepada tamadun manusia. Sheikh Umar Faruq, seorang sarjana Islam dari AS, menyelar reduksionisme dalam satu syarahan yang bertajuk “Reduksionisme- kerangka minda dajjaliah”[xiv]. Dia menyarankan reduksionisme telah terlalu dalam mencengkam pemikiran sarjana Islam sendiri sehingga ia sukar dirungkai melainkan dengan meleraikan semula ikatan falsafah ini. (Gordian Knot). Antara yang sering dihujahkannya ialah penolakan atau pengasingan reduksionisme terhadap fenomena kejiwaan dan kerohanian. Apabila sisi metafisik manusia ini diasingkan, ianya dengan mudah diketepikan kerana ianya tidak menepati kehendak sains yang bersifat empirikal.
Belengu reduksionisme di akademia
Boleh dibahaskan, bahawa antara sebab reduksionisme menjadi paradigma yang menguasai akademia Malaysia, adalah kerana pemimpin akademia negara, terutamanya yang berjawatan di kementerian, adalah terdiri dari ilmuwan yang dilatih dengan paradigma ini. Ini boleh dilihat dengan ramaianya ilmuwan bidang yang berpaksikan reduksionisme sebagai asas epistemologinya, menjadi pemimpin danpembuat dasar di kementerian. Ilmuwan dari bidang sains dan teknologi seperti jurutera dan saintis sains tulen; menjadi pilihan untuk merangka sistem dan mekanisme pengukuran kesarjanaan akademia, berbanding dengan ilmuwan dari bidang sastera, seni dan kemanusiaan. Dengan tabiat pemikiran reduksionisme, pentadbir dari golongan ini memperkenalkan sistem penilaian, pemantauan dan perlaksanaan yang bersifat mekanistik, empirikal dan berderai.
Persoalannya mengapakah akademia begitu terpaku dan kagum dengan cara berfikir Cartesian/reduksionis? Terdapat penjelasan yang logik untuk ini. Ia adalah asas sains moden. Ia adalah kaedah epistemologi yang berkesan dalam menggarao fenomena duia nyata. Dengan pemikiran sains, manusia mampu menguasai angkasa dan laut dalam. Jadi amatlah mudah untuk kita percaya bahawa kaedah ini juga sesuai untuk mengatur keinsanan. Ramai percaya Ia sesuai untuk semua bentuk organisasi hatta organisasi yang membentuk jiwa insan di peringkat tertinggi iaitu universiti.
Realiti hanyalah Formula matematik
Satu lagi kesan dari hal ini seperti yang telah dinyatakan ialah kecenderungan untuk menurunkan realiti kepada matematik, kenapa? Apabila fenomena alam dileraikan kepada komponen2 kecil yang boleh diukur, kecenderungan untuk mengukur, seterusnya menyimpulkannya dalam formula matematik menjadi amat kuat. Apabila memerhati gerakan planet, tindak balas kimia, fenomena biologi dan fizikal, terdapat corak berulang yang boleh dihuraikan dengan penjelasan matematik. Pendekatan ini sangat berkuasa sehingga menimbulkan pepatah popular reduksionis;
“Hidup boleh dijelaskan dengan biologi, biologi boleh dijelaskan dengan kimia, kimia boleh dijelaskan oleh Fizik, Fizik boleh dijelaskan oleh matematik. Oleh itu, kehidupan boleh dijelaskan dengan matematik”
Manifestasi dari keadaan ini ialah apabila kita lihat akademia dipenuhi dengan mekanisme empirikal (pengukuran) dan mekanistik yang berlandaskan model matematik. Kesarjanaan dinilai dengan indeks H, faktor impak, jumlah geran, jumlah sitasi, dan berbagai angka yang boleh dikira. Kecekapan seorang pensyarah dinilai dari berapa ramaianya graduan yang dihasilkan dalam tempoh yang singkat. Ianya memudaratkan. Sama seperti kegilaan kepada angka KDNK di atas tadi, di mana ia menimbulkan banyak kepincangan dari aspek yang tidak boleh diukur dengan jelas. Kalau KDNK mencetuskan jurang sosial dan ekonomi, pencemaran alam, redaksionsme dalam akademia pula mengenepikan isu seperti motivasi sarjana, kekentalan idealisme, semangat juang, ketenangan dan kebebasan berkarya dan berfikir dan banyak aspek keinsanan yang lain. Semua ini menjadi mangsa kegilaan mengejar angka dan metrik.
Sebagai pusat pemikiran saintifik, ahli akademik berbangga sebagai penegak paradigma ini. Kenapa tidak s? Ia terbukti berkuasa, ia mengubah tamadun. Akademia mengenal pasti dirinya sebagai tempat suci minda saintifik, yang bersumber antara lainnya dari falsafah reduksionisme itu sendiri. Sekiranya pegangan ini diusik, mereka akan bertindakbalas dengan bersungguh-sungguh kerana mereka percaya ini akan menghakis nilai kesarjanaan mereka.
Maka timbul persoalan, apakah ini bermaksud, ilmuwan bidang kemanusiaan mampu mengubah keadaan ini. Malangnya saya berpendapat tidak, ini adalah kerana bidang kemanusiaan itu sendiri telah mula meniru paradigma saintifik dalam epistemologinya. Sedangkan bidang pendidikan sendiri, Wigley menyuarakan kritikan terhadap cengkaman reduksionisme yang menyusup masuk ke dalam bidang yang amat penting mendokong kemenjadian manusia.[xv]
Di negara barat, falsafah post-modernis, post-positivism, pendekatan holistik, heuristik, pemikiran sistemik, pemdekatan fenomenologi digunakan sebagai cara pelengkap untuk menguruskan kemanusiaan, akademik Malaysia nampaknya terperangkap dengan cara pemikiran abad lalu, menjelaskan beratnya krisis yang dialami negara hari ini.
Mencari Gambaran Besar
Seperti yang dijelaskan, falsafah reduksionisme, tanpa kita sedari, mendasari hampir setiap aspek tamadun moden, akademia tidak terkecuali. Dari perbincangan di atas, masalah yang sedang dihadapi ialah masalah sistemik. Masalah yang datang dari berbagai sudut di dalam sesuatu sistem. Ia hanya boleh ditangani dengan memeriksa, menyelongkar dan mencari falsafah yang lebih sesuai. Kita perlu mengembalikan kemampuan sarjana dan ilmuwan kita agar dapat sentiasa memiliki gambaran besar tentang realiti ilmu dan masyarakat.
Bagaimana kita dapat menggarap gambaran besar tentang fungsi dan prinsip pendidikan tinggi? Jawapannya ialah kembalikan apa yang diasingkan oleh reduksionisme, iaitu aspek keinsanan, metafisik, kerohanian, potensi insan, di dalam merangka, menilai dan mengurus pendidikan tinggi. Bina falsafah yang holistik dan bersifat syumul, dan bukan berderai dan terpisah.
Apakah cara mengubati penyakit reduksionisme ini? jawabnya berhenti dari terus menggunakannya, buangkan ia dari sistem pendidikan tinggi (bahkan juga dari sistem persekolahan, mahupan mana2 sistem yang membentuk dan memperanguhi manusia) Pendekatan reduksionisme dan mekanistik Ini boleh dikenalpasti dengan pergantungan kepada nombor, metrik, indeks, jarum prestasi, carta alir, kotak ketik, jadual pengiraan, jadual pemetaan, audit berulang2, pematuhan prosedur yang ketat, dokumen yang dikawal dan mengawal, dsb. Ia percaya manusia boleh dimanipulasi dengan sistem yang berkiblatkan nombor dan data. Jadi sekiranya ada perkara2 begini, ia perlu dijauhkan. Apabila perkara ini diluruhkan, ditanggal dan ditinggalkan, ia juga bermakna sebarang penilaian dan pengurusan insan (antaranya penetapan nilai ilmu dan keberkesanan akademia) tidak boleh lagi bersifat seragam dan tiada kepelbagaian, kerana realiti insan itu sendiri sangat berbagai. Setiap ilmuwan sepatutnya diberi peluang untuk menggunakan setiap aspek dirinya, rohnya, hatinya, akalnya dalam membuat keputusan dalam menjalankan tugasnya, terutamanya dalam mendidik murid yang setiap seorangnya pula berbeza2 watak, emosi dan jiwa.
Ini juga bermaksud, dalam memilih pengurus, pentadbir, pembuat dasar, pengukur dan pemantau di institusi pengajian tinggi, sebolehnya elakkan dari mereka yang diukur cemerlang dalam bidang yang sememangnya berpaksikan paradigma redaksio-mekanistik ini. Biasanya mereka yang cemerlang di dalam bidang2 begini agak sukar bagi mereka untuk beranjak ke paradigma yang lebih holistik dalam menangani isu pembentukan kemenjadian insan.
Ia perlu diganti dengan sistem yang lebih syumul, kamil, organik, bersifat bottom up, subjektif, pelbagai dan luwes. Ia dihasilkan oleh hati dan nurani setiap ilmuwan, pendidik dan pentadbir itu sendiri. Pada awalnya, akan berlaku kekecohan dan krisis, kerana selama ini peranan nurani, jiwa, sifat keinsanan tidak pernah dianggap penting. Bahkan juga apabila insan itu terbebas, nafsu, emosi dan jiwa yang nakal dan gelap juga akan turut mula berleluasa. Disinilah berlaku pemutihan jiwa dan pembinaan falsafah yang murni, yang akan dikenalpasti dan akan diperkukuhkan oleh ilmuwan tulen. Melalui proses dialog, tafakur, dialektik dan iterasi, perubahannya akan terlihat.
Pada masa ini, kita belum mempunyai falsafah yang membantu kita menangani krisis yang menghantui akademia negara. Kita perlukan dialektik. Kita memerlukan perbincangan konseptual, abstrak, pencanaian dan pengujian hipotesis, hujah balas. Bukan semata2 mengukur dengan angka dan menguasai dengan proses mekanikal. Ianya usaha kolektif untuk menghasilkan suatu penyelesaian. Sebenarnya saya tidak percaya kita memerlukan falsafah pembangunan yang baharu, mungkin lebih kepada tindakan memilih, mendamaikan dan menggabungkan potensi keinsanan yang sedia ada yang akan membantu kita memahami di mana kita berdiri dan ke mana kita harus pergi.
(Artikel blog ini diolah dari artikel bertajuk "Pangkasian Kesarjanaan oleh Reduksionisme Liar" dari buku bertajuk "REd Flag: Pendidikan di Malaysia, Krisis atau Evolusi". Terbitan Skolar Malaysia 2024)
Nota kaki dan rujukan:
[i] UPM perjelas isu jumlah graduan PhD. Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/183815/BERITA/Nasional/UPM-perjelas-isu-jumlah-graduan-PhD
[i] Higher Education in Crisis: A Rapidly Shifting Landscape; https://insightintoacademia.com/higher-education-in-crisis-a-rapidly-shifting-landscape/
[ii] Posting fb Zulkfili Rani, The New Energy World, 1/10/2019 https://www.facebook.com/groups/1420639848212230/permalink/2240991306177076/
[iii] Graduates skills Gap, NST, 3/10/2018. https://www.nst.com.my/education/2018/10/417327/graduate-skills-gap
[iv]Malaysia Faces Youth Unemployment Crisis. Asia Sentinel, 9/11/2019 https://www.asiasentinel.com/econ-business/malaysia-youth-unemployment-crisis/
[v] Ramai anak Malaysia Genius Tapi.. 2/10/2019. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/50195/Analisis-Sinar/Ramai-anak-Malaysia-genius-tapi
[vi] Makhbul, Z.M. (2013) Stress among Malaysian Academics: A Conceptual Study. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences , Vol. 2, No. 1
[vii] Mahbubani, K. (2019) Can Asians Think? : Commemorative Edition, Marshall Cavendish International (Asia) Pte Ltd, 2019
[viii] Capra, F. (1982) The Turning Point: Science, Society, and the Rising Culture. Simon & Schuster.
[ix] Fanger, P Ole (1970). Thermal Comfort: Analysis and applications in environmental engineering. McGraw-Hil
[x] Ibid.
[xi] Masood, E (2016) The Great Invention: The Story of GDP and the Making and Unmaking of the Modern World. Pegasus Book, New York.
[xii] Ibid.
[xiii] Shiva V. (1990) Reductionist Science As Epistemological Violence in. Science, in Hegemony and violence: A Requiem for Modernity, Nandy ,A. Ed .Volume 1, United Nations University, 1990
[xiv]Dr. Umar Faruq Abd-Allah in Cairo, Egypt from April 15-19, 2016. This series of 5 classes is loosely based on the 6th century AH (12th century CE) classic “Iyha’ Ulum ud-Din” by Imam Abu Hamid al-Ghazali (RAA). https://www.youtube.com/watch?v=Q8dsVzrTVr0
[xv] Wigley, T. (2019) The problem of reductionism in educational theory: Complexity, causality, values, Power and Education. 11(2) DOI: 10.1177/1757743819845121
Ulasan
Catat Ulasan