(Penafian: Artikel ini tidak bermaksud merendahkan orang buta. Kisah ini telah lama ada dalam sastera dunia. Ia bertujuan menjadi tamsil tentang kerancuan ilmu akibat kecenderungan fahaman reduksionisme, suatu tabiat pemikiran moden yang kini menguasai keilmuan negara)
Sekumpulan lelaki buta mendengar bahawa seekor haiwan aneh, yang dipanggil gajah, telah dibawa ke bandar, tetapi tiada seorang pun daripada mereka yang mengetahui bentuk dan rupanya. Dari rasa ingin tahu, mereka berkata: "Kita mesti memeriksa dan mengenalinya dengan sentuhan, itu yang kita mampu lakukan". Jadi, apabila dibawakan seekor gajah ke hadapan mereka, mereka meraba-raba keseluruhan tubuh badan gajah itu. Orang pertama, yang tangannya memegang belalainya, berkata, "Makhluk ini seperti ular besar". Bagi yang lain yang tangannya menyentuh telinganya, ia seolah-olah sejenis kipas. Bagi orang lain, yang tangannya berada pada kakinya, berkata, gajah itu adalah tiang seperti batang pokok. Orang buta yang meletakkan tangannya di badannya berkata gajah itu, "adalah sebuah dinding". Seorang lagi yang meraba ekornya, menggambarkannya sebagai tali. Yang terakhir merasakan gadingnya, menyatakan bahawa gajah itu adalah sesuatu yang keras, licin dan seperti lembing. Akhirnya, tiada seorang pun dari mereka yang tahu rupa gajah itu sebenarnya.
Inilah keadaan yang berlaku dikalangan ilmuan masakini. Setiap orang akan menterjemahkan fenomena dunia dengan kefahaman masing-masing. Sedangkan kefahaman itu hanyalah sebahagian kecil dari hakikat fenomena sebenar. Ambil contoh isu keselamatan dan kedaulatan makanan yang kini sering menjadi perdebatan. Pakar kimia akan mengatakan bahawa masalah kedaulatan makanan adalah kerana baja pertanian yang tidak betul. Pakar tanah mengatakan tanah disitu kering dan tidak sesuai menumbuhkan tanaman. Pakar ekonomi mengatakan tidak ada rantaian pemasaran yang membolehkan petani menyara kehidupan dengan baik. Pakar kejuruteraan mengatakan petani tidak punya mesin yang baik. Semua melihat masalah dari kacamata kepakaran masing-masing.
Yang menghairankan, kesemua pandangan ini betul dan sah. Namun kemelut isu kedaulatan dan keselamatan makanan masih menjadi masalah negara seolah-olah tiada berpenghujung. Tidak ada dikalangan ahli ilmiah masakini yang mampu merangkumkan kesemua masalah, dan menyelaraskan penyelesaian yang seimbang, optima dan bersepadu.
Hairan? Tidak, jangan hairan, ini adalah hakikat keilmuan moden sejak kurun ke 16. Pendekatan sains moden memastikan tamadun manusia hari ini mempunyai pakar dalam setiap bidang, namun oleh kerana resam pemikiran moden itu sendiri, tiada seorang pun yang mampu berfikir merentasi bidang, dan mempunyai gambaran besar tentang kehidupan. Ini tepat seumpama ungkapan 'sel-sel otak tidak berhubung'. Ia menggambarkan kelemahan pemikiran yang tercerai tanpa dapat disatukan untuk menghasilkan pemikiran lateral ataupun pemikiran mencapah yang lebih kreatif.
Pemikiran ini yang berakar umbi dari falsafah reduksionisme[1], ialah kaedah meleraikan sesuatu masalah atau fenomena kepada komponen yang kecil dan tumpuan diberi hanya kepada satu bahagian yang penting sahaja. Umpama sebuah jam mekanikal. Ia boleh dileraikan, bahagian yang rosak diperbaiki secara berasingan, dan dicantumkan dengan tepat. Pemikiran begini menganggap manusia dan alam adalah fenomena mekanikal yang dapat dileraikan, diulit secara berasingan dan dicantum semula. Namun kelemahannya ialah fenomena kehidupan, alam dan manusia bukanlah sistem mekanikal yang boleh diramal dengan tepat tabiatnya.
Sejak berabad lalu, pemikiran sebegini memang ada di dalam diri manusia, sering dikaitkan dengan pemikiran otak kiri[2]. Contohnya apabila berburu, manusia akan menumpukan seluruh pancainderanya kepada buruannya. Ketika itu tidak ada perkara lain yang patut difikirkan, selain dari gerak geri dan kelakuan buruannya. Ia sangat membantu manusia untuk menangkap buruannya. Namun pemikiran begini ada kelemahannya. Ketika fokus pada buruan, dia hilang fokus kepada persekitarannya. Ini berbahaya kerana waktu ini fungsi otak kanan pula tertutup. Ketika ini, dia tidak dapat mengawasi persekitarannya, kalau-kalau ada pemangsa yang memburunya pula.
Namun di zaman pencerahan eropah sekitar kurun ke 15 dan 16, pemikiran ini dijulang sebagai pemikiran yang tepat dan objektif dalam mencari kebenaran. Memang benar, ia melonjakkan tamadun manusia dengan sains dan teknologi ke era moden. Berbagai pembaharuan dalam tamadun menyaksikan manusia menguasai dunia dengan lebih cekap. Arang batu dapat dimanfaatkan sepenuhnya sehingga menghasilkan revolusi industri. Seterusnya kemajuan bidang sains menghasilkan ilmu perubatan, pertanian dan ekonomi yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Namun, seperti masalah perburuan tadi, pemikiran sebegini menutup otak kanan. Manusia tidak mampu melihat gambaran besar kesan kehidupan sebegini. Dari segi fitrah manusia, ia menutup pintu empati, kasih sayang, iman, kepercayaan dan budaya, kerana fokus reduksionisme yang sempit tadi. Juga ia menyebabkan si pemikir tidak mampu melihat gambaran besar tentang sesuatu tindakan. Oleh itu kita lihat kesan kemajuan moden yang meruntuhkan masyarakat, menjarah alam sekitar, kesan pencemaran, peperangan, penaklukan moden yang penuh kezaliman. Kesemua masalah ini adalah masalah sistemik, iaitu kesan sampingan yang diluar dari fokus terhad reduksionisme.
Kepada sesiapa yang faham dunia akademik, akan melihat kelemahan ini dengan sangat ketara di dalam universiti dan lingkungan akademia. Pakar yang berijazah PhD akan sangat dijulang kerana kepakaran mereka. Tetapi mereka terkenal sebagai jaguh kampung, iaitu hanya tahu bercakap dari perspektif bidang masing-masing. Disini biarlah penulis berkongsi pengalaman beberapa peristiwa yang menyebabkan pendapat ini timbul.
Sewaktu negara dikecam dunia kerana kaedah penanaman sawit yang dikatakan tidak lestari, kerajaan telah berpaling kepada dunia akademia untuk menjawab kritikan tersebut. Salah satu kritikan ialah kandungan minyak sawit tidak bagus untuk kesihatan. Maka telah ada beberapa kajian ilmiah yang dijalankan oleh agensi kerajaan untuk menafikan kritikan ini. Namun kebanyakan makalah ilmiah yang menerbitkan kajian ini datangnya dari satu institusi yang memang tugasnya mempromosi penggunaan minyak sawit. Maka untuk menjawab kritikan yang timbul ini, sang menteri berpendapat, harus ada pakar nutrisi dari organisasi lain pula yang menerbitkan kajian yang serupa, sebagai testimoni luaran yang akan menjawab kritikan bahawa bukti kebaikan minyak sawit bukanlah datang dari satu pihak sahaja. Namun saya telah menyuarakan pandangan, bahawa sekiranya menteri mengambil kira keseluruhan kritikan, ia bukan hanya tentang nilai nutrisi, tapi banyak isu lain seperti kelestarian, kepelbagaian bio, pencemaran sungai dsb. Menjawab saranan saya ini, ketua penyelidik yang mendapat arahan menteri menjawab: "Menteri suruh kita jawab isu nilai nutrisi, dan bukan suruh berhujah soal lain. Lagipun dana yang diberi untuk kajian sebegini, maka kita buat sahajalah".
Disini apa yang saya kesalkan ialah, universiti gagal menasihati menteri tentang isu sebenar dari gambaran besar. Universiti sepatutnya memainkan peranan menasihati menteri tentang masalah sebenar, iaitu isu kelestarian alam dan sosioekonomi, dan bukan tentang nutrisi. Malangnya ilmuan dalamkes ini bertindak menurut arahan menteri yang pada hemat saya bertindak atas dasar 'memadamkan kebakaran' semata-mata [3].
Di satu masa lain, gejala gajah dan orang buta (ataupun gejala pemikiran silo) ini boleh saya ceritakan begini. Sewaktu saya menjawat jawatan pemasaran teknologi, saya melihat ada permintaan pasaran dari pengusaha sayur tertentu untuk mencuba kaedah pertanian dalam bangunan terkawal yang menggunakan teknologi terkini yang meningkatkan kecekapan penggunaan baja, air dan menjimatkan guna tanah. Apabila saya melihat di dalam universiti, kesemua teknologi yang perlu untuk menghasilkan satu penyelesaian pertanian dalam persekitaran terkawal ada di dalam universiti, namun masing2 hanya fokus pada kepakaran masing-masing. Saya terfikir mengapa universiti tidak menawarkan pengetahuan ini untuk megambil peluang membantu pengusaha sayuran tempatan? Bukankah sudah jelas ada keperluan kepada sistem ini dan kebaikannya tidak dapat dinafikan? Jawapannya jelas. Untuk memberi penyelesaian pasaran ini, perlu ada kerjasama antara pakar air, pakar baja, pakar lampu, pakar kawalan suhu bangunan, dan lain lain yang semuanya ada di dalam universiti. Masalahnya, pakar2 ini tidak pernah berkerjasama antara satu dengan lain, kekok untuk merentasi skop kepakaran masing2, dan tak terfikir untuk menghasilkan cadangan yang bernas dan praktikal. Masing-masing hebat dalam bidang yang sendiri yang sangat terhad manfaatnya tanpa kaedah menggabungkannya dalam satu bentuk penyelesaian yang realistik.
Kesimpulannya, ketaksuban ataupun kejumudan kepada kaedah pemikiran reduksionisme ini, akhirnya menyebabkan keilmuan di peringkat tertinggi negara, menjadi cetek, dangkal dan tumpul. Ilmuan sangat cekap menghasilkan pengetahuan ilmiah yang tinggi namun dalam skop yang terhad, kecil dan tidak bermanfaat. Masing2 sangat arif tentang banggota tubuh badan gajah, tapi tak seorangpun, baik ilmuan, apatah lagi masyarakat awam, mampu menerangkan apakah itu seekor gajah, apakah kemudaratannya dan apakah kekuatannya. Maka tidak ada seorang pun yang mampu memperolehi manfaat dari pengetahuan masing2.
Nota kaki:
[1] Disumberkan dari Renee Descartes, pemikir Perancis pada kurun ke 16.
[2] Pandangan dari sudut neurologi, seperti pendapat Ian Mcgilchrist.
[3] Iaitu kaedah hanya merawat simtom yang timbul tanpa menyediki punca masalah.

Ulasan
Catat Ulasan